Dalam satu keputusan penting baru – baru ini, pihak Mahkamah Rayuan (Court of Appeal) telah membuat keputusan dengan memutuskan bahawa seorang anak yang dilahirkan di luar nikah boleh di bin kan dengan nama bapa, dan bahawa fatwa mengenai isu berkenaan yang telah dibuat beberapa tahun yang lalu oleh pihak Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang – undang.

Menurut fakta kes, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, yang menulis keputusan sebulat suara itu, berkata bidang kuasa ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah sivil dan terbatas untuk menentukan sama ada si bapa telah memenuhi syarat – syarat Seksyen 13A (2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Walaupun kelihatan banyak pihak khususnya dari kalangan perjuang hak asasi manusia yang menyambut baik diatas keputusan yang dibuat pada masa yang sama juga, keputusan yang telah dibuat oleh pihak Mahkamah Rayuan ini telah mengemparkan banyak pihak dalam negara kita khususnya dikalangan masyarakat Islam yang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai isu berkenaan serta kedudukan fatwa yang telah dikeluarkan.

Pihak kerajaan serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga dilaporkan akan membawa isu berkenaan ke Mahkamah Persekutuan (Federal Court), Mahkamah Tertinggi dalam negara kita untuk menilai semula keputusan yang telah dibuat mengenai perkara ini.

Perlu diketahui, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 telah membincangkan Penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah).

Muzakarah berkenaan telah memutuskan bahawa anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bermuzakarah pada 10 Jun 2003 bersetuju mendenisikan anak tak sah taraf seperti berikut: 1.

Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan; dan 2. Anak dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

Perlu diketahui umum, isu ini merupakan isu yang senstitif khusus bagi umat Islam kerana ia melibatkan status keturunan seseorang individu itu dan ianya memerlukan penyelesaian yang perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam serta pandangan cerdik pandai Islam mengenainya.

Banyak implikasi yang boleh timbul berdasarkan keputusan yang telah dibuat ini yang boleh melibatkan banyak isu yang berkaitan dengan hak ehwal Agama Islam dalam negara kita. Adalah penting juga untuk rujukan terhadap kedudukan Agama Islam sebagai agama rasmi negara semenjak merdeka seperti yang telah termaktub dibawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Agama Islam ternyata diberi kedudukan yang istimewa berbanding agama – agama lain di negara ini. Peruntukan ini antara yang penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini terbukti apabila undang – undang tertinggi ini menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan manakala agama – agama lain pula bebas untuk dianuti dan dipraktikkan oleh penganut – penganutnya.

Meletakkan status Agama Islam di awal bahagian di dalam Perlembagaan Persekutuan kita membawa makna yang besar dari segi peranan dan kedudukannya dalam negara kita yang perlu diberi perhatian yang serius dan diambilkira.

Bagi mengelakkan isu ini menjadi isu berpanjangan dan dipolitikkan, adalah disarankan semua pihak yang berkaitan iaitu pihak kerajaan, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pihak badan – badan bukan kerajaan (NGO) dan Jabatan Agama Islam untuk duduk semeja dan berbincang bagi mencari jalan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Melalui proses perbincangan, sebarang masalah dan perselisihan faham dapat diatasi dan yang paling penting ia dapat melahirkan jalan penyelesaian yang baik untuk semua pihak yang terlibat dengan isu berkenaan terutamanya kedudukan anak – anak dalam isu berkenaan yang perlu diberi perhatian khusus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here