Wajah seorang penumpang mirip imam Palestin, Allahyarham Dr Fadi Albatsh, menimbulkan suasana sedih dalam pesawat apabila anak Allahyarham bertindak memeluk dan bermanja dengan lelaki berkenaan.

Kejadian berlaku ketika dalam pesawat Egypt Air yang dinaiki isteri Allahyarham, Enas AlBasth, 31, dan tiga anaknya berusia enam bulan hingga setahun.

Anak bongsu Allahyarham, Mohamed bertindak demikian kerana menyangka lelaki terbabit adalah bapanya.

Menceritakan kejadian itu, sukarelawan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Farisul Islam berkata, kejadian berkenaan berlaku ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Kaherah.

“Mohamed kelihatan bermanja dengan penumpang berkenaan kerana perwatakan dan rupanya yang berjambang mirip arwah.

“Mungkin anak kecil berusia enam bulan itu sangat merindui arwah ayahnya dan dia masih tidak mengerti apa-apa, namun dia kelihatan sangat gembira,” katanya.

Farisul bersama isterinya adalah sukarelawan yang mengiringi Enas dan jenazah Fadi ke Kaherah, Mesir.

Jenazah Allahyarham tiba kira-kira jam 10.40 pagi (waktu Malaysia) di Lapangan Terbang Kaherah. Ia dibawa menaiki pesawat Egypt Air yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 7 malam tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here