KUALA LUMPUR – Majoriti pembaca AstroAwani.com melihat kekecohonan yang dilakukan Ultras Malaya di Stadium Shah Alam malam tadi sebagai satu peluang terakhir untuk mereka meluahkan rasa tidak puas hati demi kemajuan pasukan bola sepak negara.
Menerusi satu soalan terbuka yang dilakukan laman sosial, “Siapakah yang bertanggungjawab terhadap insiden yang berlaku semalam?”,  kebanyakan netizen berpendapat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merupakan punca utama kekecohan itu dan mereka perlu dipersalahkan.Menurut mereka, walaupun ia bukan budaya Malaysia untuk melakukan protes tetapi saluran tersebut menjadi saluran terakhir mereka untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kepincangan yang berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Seorang pengguna Facebook, Mat Adil menyatakan bahawa penyokong tegar pasukan bola sepak Malaysia tidak mampu lagi mengikut budaya yang biasa kerana ‘saluran biasa’ tidak lagi berfungsi.

Ini berlaku apabila pandangan, rungutan ataupun nasihat yang diajukan kepada FAM tidak diendahkan. Bila itu semua sudah tidak lagi berfungsi, maka mereka mula bertindak di luar ‘budaya biasa’ dengan membuat protes terangan seperti itu.

Abdul Hamid pula berkata, perasaan marah dan meluat dengan FAM telah lama bersarang dalam sanubari peminat bola sepak negara. Walaupun ia memalukan negara, tetapi tindakan ini akan membangunkan pasukan negara kita.

Azhar Agus Kaharudin pula berpendapat, tindakan itu mungkin adalah jalan terakhir untuk menunjukkan tanda protes peminat setia pasukan kebangsaan yang mahukan perubahan dalam pucuk pimpinan FAM

“Walaupun banyak pendapat sudah kita dengar setiap kali berakhirnya satu- satu kejohanan yang disertai pasukan kebangsaan tapi semuanya dipandang enteng, bila kalah jurulatih dan pemain yang menanggung beban tapi mengapa tidak mereka yang berada di atas? soal Azhar.

Namun, ada segelintir rakyat yang berpandangan perkara ini tidak sepatutnya belaku, malah peminat tegar Ultras Malaya serta penguatkuasaan dan keselamatan dalam stadium perlu dipersalahkan.

“Sikap peminat dan pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan terlalu leka,” kata seorang pengamal media sosial, Noor Rina.

Abdullah Chik pula menyatakan walau apapun, penonton dan penyokong perlu beradap dan bersopan kerana kalah menang merupakan adat perlawanan.

Pada 8 Sepember lalu, segelintir penonton melontar masuk suar, bom asap dan mercun roket ketika perlawanan keempat Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia  2019.

Pelawanan di antara Malaysia dengan Arab Saudi terpaksa dihentikan ketika pasukan pelawat mendahului perlawanan 2-1.

Sumber: Astro Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here