Pas Terengganu tidak hairan atau terkejut sekiranya beberapa wakil rakyat termasuk dari negeri ini akan mengikut jejak langkah Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah menyertai Pakatan Harapan.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa wakil rakyat Pas yang dilihat menonjol sepentas dengan Pakatan Harapan seperti Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi serta wakil rakyat dari Kedah iaitu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa.

Menurutnya, wakil-wakil rakyat tersebut ketika ini dilihat bertindak sebagaimana Amiruddin dengan meninggalkan jemaah Pas sejak sekian lama walaupun tidak pernah membuat pengumuman meninggalkan parti itu.

“Mereka menjurus ke arah sana (Pakatan Harapan) dari sudut program dan kehadiran, meninggalkan terus program-program Pas sejak sekian lama.

“Kita harap mereka ini istiqamah (dalam Pas), fikir balik tentang baiah, tentang orang ramai yang menyokong mereka di musim pilihan raya, di samping mengambil kira pengorbanan orang kampung,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sementara itu, mengulas mengenai Amiruddin yang baharu sahaja menyertai Bersatu, Azman Shapawi menyifatkan wakil rakyat tersebut terlupa mengenai baiah yang pernah dilafazkannya ketika diangkat sebagai calon pada PRU lalu.

Sekiranya Amiruddin tidak terlupa tentang baiah, katanya, sudah tentu wakil rakyat tersebut akan berasa takut terhadap pelanggaran baiah tersebut kerana ia bukanlah perkara main-main berikutan ia melibatkan sumpah janji atas nama ALLAH.

“Macam YB Mahfuz dia tidak keluar Pas, walaupun dia sering kali dilihat dalam program Amanah, dia tidak keluar dari Pas. Kalau dia keluar (Pas), dia langgar baiah. Saya rasa yang ini (Amiruddin) mungkin terlupa baiah dia itu,” katanya.

Azman Shapawi bagaimanapun menyerahkan urusan baiah kepada ALLAH sambil memberitahu Pas tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap mana-mana wakil rakyat yang membuat pelanggaran baiah.

Dalam  masa sama katanya, pihaknya juga tidak terkejut dengan tindakan Amiruddin memandangkan wakil rakyat itu sudah lama tidak bersama-sama dengan Pas walaupun masih menjadi wakil rakyat Pas.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan soal pemilihan calon Pas pada PRU akan datang akan lebih diperhalusi dan diteliti oleh pimpinan Pas Pusat bagi mengelak wakil-wakil rakyat parti itu melompat ke parti lain.

Jelasnya, parti sudah tentu akan mengambil kira semua segi dan faktor untuk mengelak kejadian berulang dan tidak diingini pada masa akan datang.

“Baiah mungkin akan berjalan seperti biasa kerana ia sudah menjadi tradisi lama dalam Pas.

“Yang kedua penghalusan, perincian akan diambil kira oleh Majlis Syura Ulama.

“Sekarang ini pun sudah terperinci tetapi mungkin akan datang lebih terperinci lagi dari pelbagai sudut,” katanya.

Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here