SINGAPURA, 2 Sept – Dewan Perniagaan Amerika di Singapura (AmCham) menyambut baik pelantikan Pejabat Harta Intelek Singapura (IPOS) sebagai pihak berkuasa carian dan pemeriksaan paten antarabangsa yang pertama di Asia Tenggara.

AmCham dalam satu kenyataan hari ini, berkata pelantikan IPOS itu akan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai destinasi yang menarik bagi hab harta intelek (IP) dan inovasi yang semakin meningkat di Asia.

“Pelantikan IPOS, yang akan berkuat kuasa pada Isnin, membolehkan mana-mana permohonan antarabangsa yang difailkan di negara lain, untuk diperiksa dan diteliti di Singapura,” katanya.

Hanya terdapat 17 pejabat IP yang menawarkan perkhidmatan tersebut di seluruh dunia.

Pengerusi AmCham, James Andrade, berkata keupayaan untuk melakukan carian dan pemeriksaan Perjanjian Kerjasama Paten melengkapkan regim IP Singapura yang sedia kukuh.

“Ia akan memacu urusan berkaitan IP yang lebih canggih, mewujudkan pekerjaan di Singapura dan memberi faedah kepada syarikat-syarikat yang mempunyai operasi serantau,” katanya.

Pelantikan IPOS pada mulanya dibuat dalam Perhimpunan Organisasi Harta Intelek Dunia (WIPO) ke-54 dalam 2014.

Walaupun permohonan antarabangsa boleh difailkan di Singapura sejak dari 1995, WIPO melalui satu perjanjian, menamakan IPOS, sebagai Pihak Berkuasa Pemeriksaan Permulaan Antarabangsa dan Pihak Berkuasa Carian Antarabangsa.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here