Sultan Nazrin

BERDASARKAN kepada pengamatan terhadap perkembangan semasa tanah air, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Tun Abdul Razak pastinya kecewa dan ralat melihat empat senario yang sedang berlaku di negara ini jika masih hidup.

Apakah empat senario berkenaan?

Senario pertama merujuk kepada perpaduan kaum yang mana Tun Abdul Razak menyatakan masa depan negara bergantung kepada perpaduan rakyat.

Namun kini, dalam keghairahan mahu mendapat sokongan, parti politik kelihatan semakin cenderung memilih untuk menyalakan bara sensasi isu agama dan perkauman.

Senario kedua, Tun Abdul Razak turut menggariskan peranan penting sekolah dalam memupuk perpaduan rakyat melalui aliran pengajian kebangsaan menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan yang terkandung dalam Penyata Razak.

Tetapi, pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan kini dilihat semakin gagal memenuhi matlamat untuk sekolah berperanan sebagai taman asuhan menyatupadukan warganya.

Generasi muda pelbagai kaum yang melalui pelbagai aliran persekolahan, tidak akan berpeluang berinteraksi dan saling mengenali, sebaliknya membesar secara berasingan dalam kelompok kaum masing-masing.

Senario ketiga ialah wujudnya pelbagai gelinciran daripada landasan sebenar pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), terutama penyalahgunaan peluang pembahagian kekayaan.

Situasi ini mengakibatkan berlaku ketirisan pegangan ekonomi Bumiputera secara besar-besaran yang bukan saja mencetuskan salah faham Bumiputera yang menganggapnya sebagai pilih kasih, malahan juga kemarahan kalangan bukan Bumiputera.

Senario keempat berkaitan rasuah dan integriti. Hati Tun Abdul Razak pasti luluh mengikuti pendedahan demi pendedahan, tangkapan demi tangkapan kerana rasuah yang berlaku secara besar-besaran, membabitkan penjawat tinggi dan individu terpelajar dengan jumlah yang banyak serta mencalar nama baik negara bangsa.

Adakah empat senario itu merupakan sesuatu yang tidak penting?

Sudah tentu penting kerana keempat-empat senario itu merupakan aspek penting dalam memastikan rakyat pelbagai kaum di negara ini hidup bersatu padu dan aman damai.

Senario itu juga penting dalam memastikan negara ini terus berkembang bukan sahaja dalam aspek ekonomi malah politik dan sosial.

Atas faktor itu, wujud kebimbangan dalam diri Sultan Nazrin yang melihat pengabaian kepada empat senario itu.

Adakah Sultan Nazrin sengaja menyatakan kebimbangan itu?

Sudah tentu tidak, ini kerana baginda merupakan Sultan di negara ini.

Sudah pasti wujud kebimbangan dalam diri baginda yang melihat perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini semakin rapuh dan menanti belah.

Atas faktor apakah perpaduan rakyat menjadi semakin rapuh?

Salah satu faktornya adalah disebabkan oleh faktor politik yang mana parti-parti politik di negara ini ghairah bagi menjayakan agenda masing-masing.

Disebabkan keghairahan itu, soal perpaduan kaum diketepikan dan jika tidak diatasi, sesuatu yang buruk serta tidak diingini boleh berlaku.

Apa yang perlu dilakukan oleh rakyat?

Perkukuhkan empat perkara iaitu membabitkan perpaduan kaum, pendidikan, ekonomi dan integriti.

Ini kerana usaha membina sebuah negara yang hebat amat memerlukan pengorbanan, saling memahami dan bertolak ansur antara satu sama lain.

Semangat kerjasama dan cintakan perpaduan adalah amat penting bagi melakukan transformasi negara ke arah ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’ (negara yang adil dan makmur serta diberkati dan diampuni Allah SWT).

Semangat itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan negara dengan berteraskan perpaduan antara kaum yang jitu dan kukuh.

Hasrat itu tidak akan tercapai tanpa sokongan dan dukungan semua pihak tanpa mengira kaum atau fahaman agama.

Rakyat khususnya umat Islam perlu mengambil iktibar daripada kejayaan Nabi Muhammad SAW membangunkan Madinah daripada sebuah kota kepada sebuah negara.

Kejayaan Nabi Muhammad itu memberi gambaran bahawa perpaduan adalah penting dalam membangunkan dan menjana transformasi ummah.

Kehadiran Nabi Muhammad SAW telah membawa bukan sahaja suatu sistem beragama yang suci dan luhur bahkan turut membawa sistem yang menyatukan ummah seluruhnya.

Kesatuan yang dibina bukan sahaja menafikan perbezaan pangkat dan kedudukan tetapi turut menjalinkan rasa kasih sayang berteraskan akidah yang satu.

Perpaduan yang dibina juga telah menghasilkan ramuan kejayaan dalam membangunkan ketamadunan ummah yang mapan dari sudut rohani dan pembangunan fizikal.

Itu juga perlu dilakukan dalam konteks rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Bukan sahaja rakyat perlu memainkan peranan tersebut, kerajaan memerintah, parti-parti politik serta wakil-wakil rakyat juga perlu melaksanakannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here