Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa menempelak janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi lebih peruntukan kepada PAS Kelantan.

“Beri wang, kemudian ungkit, itu buli namanya. Apa lagi diungkit depan khalayak ramai. Sangat kurang sopan, dilarang oleh Islam,” katanya dalam Facebook beliau, semalam sebagai mengulas ucapan Najib di Kota Bharu, Ahad lalu.

Dalam ucapan itu, Najib berjanji terus memberi peruntukan kepada Kelantan.

Najib juga dilaporkan berkata, tidak sanggup melihat rakyat Kelantan terdera dan dipinggirkan daripada arus pembangunan negara.

Husam yang juga Adun Salor berkata, hak mendapatkan peruntukan tambahan dijamin oleh perlembagaan.

“Jika Kelantan atau mana-mana negeri mengalami kekurangan dalam belanja mengurus, iaitu bayaran gaji dan emolumen, kerajaan pusat wajib menampung. Itu ada dalam perlembagaan negara sebelum Najib menjadi perdana menteri lagi. Zaman perdana menteri sebelum Najib pun bayaran itu dibuat,” katanya.

Husam berkata, kenyataan Najib itu bertujuan memalukan kerajaan Pas Kelantan dan menteri besar.

“Nafkah wajib tak perlu diungkit. Kalau nak ungkit, masa menteri besar Kelantan datang jumpa tambah peruntukan, bukan depan rakyat jelata kerana nak malukan menteri besar dan Kerajaan Pas Kelantan,” katanya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here