Kelihatannya Amanah masih belum boleh “move on” daripada membincangkan soal parti atau kekasih lamanya, PAS meskipun sudah berpisah lebih daripada 24 bulan.

Sebut Amanah, akan muncul dalam kepala terma “parti serpihan PAS”. Sungguh jijik anggapan tersebut. Namun itulah realiti yang masih membelenggu sebahagian rakyat Malaysia yang masih tidak faham tentang Amanah.

Tahun ini masuk tahun ketiga penubuhannya dan kemampuan dalam memposisikan parti di arena politik Malaysia tidak dapat disangkal lagi seiring dengan slogan “Amanah, Progresif, Peduli”.

Walau pun begitu, masih ada kecacatan yang memburukkan imej Amanah di persada politik Malaysia.

Sekiranya ia dilakukan atas dasar membongkar skandal-skandal yang berlaku dalam PAS sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian ahli politik Amanah termasuklah isu “Ana Tahu” dengan bukti yang masih samar-samar, ia bukan satu kekuatan bagi Amanah bahkan kudis yang merosakkannya.

Rakyat tidak mahu tahu apa yang berlaku antara PAS dan Umno, yang mereka fikirkan adalah bagaimana mencari sesuap nasi untuk keluarga dan masihkah ada harapan buat mereka pada hari esok bagi meneruskan kehidupan?

Seharusnya Amanah mampu membaca pemikiran rakyat. Mengetengahkan skandal PAS-Umno tidak sedikit pun mendiamkan perut marhaen yang berkeroncong setiap pagi dan petang.

Tidak dinafikan bahawa gerak kerja yang dilaksanakan oleh ahli Amanah pada setiap peringkat wajar dipuji tetapi Amanah juga perlu ingat, nila yang setitik, sudah cukup merosakkan susu yang sebelanga.

Tindakan membongkar skandal ahli politik PAS yang tidak bersandarkan kepada kebenaran yang nyata hanya mencalit kerosakan.

Bahkan ia dilihat sebagai tindakan terdesak bagi meyakinkan orang awam bahawa skandal itu benar- benar terjadi.

Adakah ia mampu meraih sokongan melalui cara itu? Memadamkan api lilin orang lain tidak mencerahkan cahaya lilin kita sendiri.

Amanah perlu “move on” daripada terikat dengan isu PAS. Usah dibicarakan lagi tentang skandal itu.

Andai skandal tersebut disokong dengan bukti yang jelas dan nyata sekalipun, belum tentu rakyat akan percaya kerana mentaliti mereka tentang perkaitan Amanah-PAS masih belum terpadam.

Musim PRU ini, ramai yang terjerat dengan emosi dan mengutarakan kisah tentang “kekasih lama” hanya menyemarakkan lagi kebencian orang ramai terhadap Amanah yang dilihat masih tidak puas hati terhadap kekasih lamanya.

Cukup-cukuplah menghulur bola tanggung kepada seteru politik. Oleh itu, teruslah bergerak demi kesejahteraan rakyat.

Rakyat menilai kerja Amanah dan buktinya akan terserlah pada kertas undi 9 Mei nanti.

Firdani Adam ialah pembaca FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here