Ketika seluruh dunia menunjukkan gelombang kebangkitan pemimpin pada usia muda dan melihat keperluan penting untuk meletakkan calon-calon muda dalam pilihan raya umum Malaysia yang bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja, Parti Amanah Negara (AMANAH) dilihat mengambil langkah ke belakang apabila menolak usul yang dikemukakan sayap pemuda parti berkenaan supaya AMANAH meletakkan 30 peratus calon muda di kerusi-kerusi yang bakal ditandingi parti berkenaan.

Keputusan yang dibuat oleh Parti AMANAH ini dilihat agak mengejutkan kerana di saat rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) bersungguh-sungguh mahu menonjolkan kepimpinan muda masing-masing, AMANAH nampaknya belum bersedia ke arah itu. Apakah perkara yang mendorong usul penting seperti itu ditolak dalam Konvensyen parti berkenaan?

Satu perkara terpenting yang wajar dinilai ialah keupayaan AMANAH untuk membentuk barisan kepimpinan muda. Ini satu persoalan yang wajar ditangani oleh parti berkenaan dengan baik. Sebelum ini latihan terhadap kebanyakan pemimpin AMANAH melalui sistem yang telah diterapkan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS), ini kerana AMANAH ialah parti serpihan daripada PAS. Sehubungan itu, AMANAH dilihat berkemungkinan tidak mempunyai sistem pembentukan pemimpin pelapis yang berkesan sehingga berlaku kekurangan dalam pemimpin muda yang boleh ditonjolkan.

Penolakan usul ini juga merupakan satu kegagalan untuk AMANAH membaca peranan undi golongan muda dalam pilihan raya umum akan datang. Keputusan ini jelas satu jangkaan politik yang tidak mampu menghadam senario terkini. Jika AMANAH mampu bersetuju untuk memberikan kuota 30 peratus kepada calon muda, sudah tentu parti ini akan menerima persepsi lebih positif dalam kalangan pengundi muda. Namun melalui penolakan ini, AMANAH akan dilihat sebagai parti yang tidak bersedia menerima pandangan dan kepimpinan orang lebih muda.

Kenyataan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu bahawa tidak ada guna bermula dalam usia muda jika kemudiannya menjadi korup juga merupakan satu hujah dangkal yang tidak berpaksikan kenyataan. Malah bilangan pemimpin korup lebih ramai yang berusia berbanding pemimpin muda. Ini juga merupakan satu alasan untuk menafikan keupayaan pemimpin muda memberi saingan dalam pentas politik. Kita tidak pasti sama ada pemimpin-pemimpin lama AMANAH berasa tergugat dengan keadaan ini atau bagaimana.

Mohamad sendiri bermula di usia muda dan telah bertanding dalam pilihan raya bermula pada usia 27 tahun. Jadi bagaimana beliau boleh bersetuju dengan keputusan konvesyen partinya sendiri untuk tidak memberikan ruang lebih luas kepada pemimpin muda. Satu hal terpenting yang wajar difikirkan AMANAH melalui penglibatan aktif golongan muda ialah keupayaan untuk menyingkirkan persepi parti berkenaan sering dibayangi PAS.

Pemimpin muda mampu membentuk corak baru kepada AMANAH dan menentukan parti berkenaan mampu berdiri sendiri tanpa dibayangi sesiapa. Keadaan ini jelas berbeza jika AMANAH dibarisi calon berusia yang juga merupakan bekas calon dari PAS, sudah tentu bayangan PAS ini akan kekal menjadi penghalang terpenting untuk AMANAH muncul sebagai parti yang mampu membentuk ideologi sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here