Parti Amanah Negara (AMANAH) sering melaung-laungkan keyakinan untuk merampas hampir semua kerusi yang ditandingi Parti Islam SeMalaysia (PAS). AMANAH dilihat lebih berminat untuk mematikan langkah PAS dan mempunyai misi peribadi yang harus dilunaskan. Parti ini sering hadir dengan slogan lunak yang menawarkan alternatif kepada PAS di dalam membawa budaya politik Islam. AMANAH menampilkan dirinya sebagai Islam progresif dengan mempamerkan keterbukaan.

Namun di sebalik segala cita-cita besar yang ditampilkan, parti ini jelas masih ketinggalan jauh berbanding PAS apatah lagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dari sudut pengalaman dan kepimpinan. Walaupun kita melihat ramai bekas pemimpin utama PAS kini bersama-sama AMANAH, namun kekuatan akar umbi dan pengukuhan gerak kerja di peringkat bawahan masih merupakan satu kelemahan nyata kepada AMANAH. Malah parti ini jelas tidak mempunyai barisan kepimpinan yang benar-benar berwibawa yang boleh mengawal gerakan parti secara besar-besaran.

Lihat bagaimana selepas Pakatan Harapan (PH) mengumumkan kerusi Parlimen yang bakal ditandingi di seluruh Semenanjung dan apabila AMANAH dilihat mendapat bilangan kerusi paling sedikit, sudah timbul kegoncangan apabila beberapa pemimpin AMANAH di peringkat negeri menzahirkan rasa tidak puas hati secara terang-terangan di media. AMANAH Johor, Perak dan Wilayah Persekutuan dilihat paling lantang menyuarakan rasa tidak senang dengan kepimpinan mereka yang dianggap gagal mempertahan maruah dan kepentingan parti.

Ini satu contoh bagaimana barisan kepimpinan AMANAH sebenarnya tidak langsung mampu mengawal organisasi dengan baik sehingga ada dalam kalangan pemimpin negeri secara mudah membuat kenyataan di media memburukkan parti dan barisan kepimpinan sendiri. Rasa kepatuhan dan memahami keputusan tidak ditangani dengan baik dan cara AMANAH ini hanya akan mengundang padah kepada masa depan parti berkenaan sendiri.

AMANAH kini dipimpin oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Bin Sabu atau lebih dikenali dengan Mat Sabu. Beliau semasa di dalam PAS sentiasa mendapat dokongan dan kedudukan istimewa, sehingga mampu meraih jawatan Timbalan Presiden. Namun begitu, disebabkan rasa yakin diri yang berlebihan beliau beranggapan mampu mencabar jawatan Presiden PAS dan melihatkan bagaimana beliau tersungkur kemudian merajuk dan membentuk AMANAH.

Sebenarnya jika diteliti dengan baik, Mat Sabu bukanlah seorang pemimpin yang benar-benar boleh membawa perubahan kepada sesebuah parti politik, kerana sebelum ini PAS beberapa kali mengalihkan beliau ke beberapa kerusi yang dilihat sebagai mampu menang. Mat Sabu diletakkan di kedudukan terbaik untuk PAS. Ini melihatkan bagaimana PAS mahu memastikan beliau terus relevan. Namun apa yang terjadi dalam beberapa pilihan raya umum sebelum ini membuktikan bagaimana rakyat sebenarnya sudah menanggap Mat Sabu sudah tidak relevan lagi.

Mat Sabu mengalami kekalahan secara hatrik dalam pilihan raya bermula pada tahun 2004 sehingga tahun 2013. Apa yang pelik semua kerusi yang ditandingi beliau ialah kerusi selamat, namun jelas rakyat tidak memandang parti, sebaliknya melihat Mat Sabu bukanlah pilihan sesuai untuk menjadi seorang Ahli Parlimen yang berwibawa. Pada pilihan raya umum 2004 Mat Sabu tewas kepada calon BN, Hashim Jahaya di Parlimen Kuala Kedah. Kemudian pada tahun 2008 dalam misi menawan Terengganu, Mat Sabu telah dialihkan ke Parlimen Kuala Terengganu dan sekali lagi beliau tewas di sana. Pada tahun 2013, PAS menghadiahkan Mat Sabu kerusi keramat parti berkenaan, Pendang. Namun rakyat sekali lagi menggunakan kuasa untuk menolak Mat Sabu.

Inilah nasib seorang Presiden parti yang bernama AMANAH dan pada pilihan raya umum kali ini sekali lagi Mat Sabu akan bertanding dan ternyata parti yang dipimpinnya kini akan meletakkan beliau bertanding di tempat yang selamat. Mat Sabu dikatakan bakal ke Selangor dan sedang mengintai-intai peluang untuk bertanding di Kota Raja atau Shah Alam. Namun di mana-mana pun beliau bertanding, badi kekalahan masih terus mengekori dan Mat Sabu memerlukan lebih daripada keajaiban untuk mencapai kemenangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here