Proses pengambilan pembantu rumah asing (PRA) dalam talian melalui Sistem Maid Online (SMO) akan mengambil masa seawal 8 hari sahaja, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Bermula 1 Januari ini, katanya, majikan boleh mengemukakan permohonan dalam talian melalui http://maid-online.imi.gov.my/maid/main untuk mengambil pembantu rumah dari 9 negara sumber, iaitu Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Thailand, India, Laos, Nepal, Vietnam dan Kemboja.

Bagi pihak majikan, beliau berkata, proses akan bermula dengan daftar masuk, pendaftaran majikan dan PRA serta mengemukakan keputusan pemeriksaan kesihatan (Fomema) yang dijangka mengambil masa kira-kira 3 hari.

“Selepas menerima permohonan daripada pihak majikan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengambil masa sekurang-kurangnya 5 hari untuk semakan dokumen, kelulusan, bayaran dan cetakan Pas Lawatan Kerja Sementara,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Mustafar berkata, SMO merupakan sistem yang cepat, tepat dan jimat kos serta dapat membasmi penyertaan ejen berikutan majikan yang akan memasukkan maklumat sendiri dan PRA dengan satu kata laluan.

Selain itu, katanya, kos pengambilan PRA jauh lebih rendah, iaitu RM1,635 berbanding RM12,000 hingga RM18,000 sebelum ini.

“Kerajaan yakin sistem ini akan meningkatkan tahap produktiviti, mengurangkan tanggungan kos berkaitan rumah tangga dan penjagaan anak-anak.

“Selain itu, ia menggalakkan penyertaan isi rumah khususnya golongan B40 dalam pasaran pekerjaan negara, sekaligus meningkatkan penjanaan pendapatan dan taraf hidup isi rumah,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018 mengumumkan kerajaan membenarkan majikan memohon PRA secara terus dalam talian, bermula 1 Januari 2018.

Mustafar menjelaskan antara syarat kelayakan majikan adalah suami isteri yang mempunyai anak berumur 15 tahun ke bawah yang memerlukan jagaan dan perhatian, anak kelainan upaya (tanpa had umur), majikan atau isteri yang sakit/ uzur atau ibu bapa uzur.

“Majikan yang terdiri daripada suami isteri hanya boleh menggaji seorang PRA sahaja pada satu-satu masa,” katanya.

Mustafar berkata, antara syarat kelayakan PRA ialah mereka perlu berada dalam negara atas Pas Lawatan Sosial yang sah dan tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara yang aktif dengan majikan lain.

Beliau berkata, PRA yang tinggal lebih masa di Malaysia bermula 1 Januari hingga 31 Disember atas Pas Lawatan Sosial sahaja yang layak memohon, namun permohonan hanya akan dibuka untuk tempoh 6 bulan, iaitu 1 Januari hingga 30 Jun tahun depan.

“Majikan perlu mendaftar dalam sistem terlebih dahulu dan akan dirujuk ke Bahagian Penguatkuasaan untuk tindakan kompaun,” katanya sambil memberitahu kompaun itu termasuk RM500 kepada majikan, bakal PRA (RM300) dan bayaran pas khas (RM100).

Oleh itu, jumlah kos bayaran untuk pengambilan PRA yang memiliki Pas Lawatan Sosial tinggal lebih masa ialah RM2,535.

Beliau memberitahu PRA yang berada di negara ini, tetapi memiliki pas selain Pas Lawatan Sosial juga tidak layak mengemukakan permohonan.

Sebarang pertanyaan mengenai permohonan pengambilan PRA boleh merujuk kepada pusat panggilan Unit Pembantu Rumah Asing melalui talian 03-88801468 atau e-mel [email protected] merujuk Bilik Gerakan JIM pada 8.30 pagi hingga 11 malam melalui talian 03-8880 1555

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here