CAKAP berdegar-degar mahu tolak rasuah dan suruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan bagi membanteras perbuatan itu.

Tetapi sehingga kini tiada sebarang komitmen ditunjukkan oleh kerajaan PKR negeri Selangor untuk melaksanakan Ikrar Bebas Integriti (IBR).

Keengganan kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali untuk melaksanakan IBR menimbulkan 1,001 persoalan.

Ini menjadikan Selangor ketinggalan setelah negeri-negeri lain sudah pun berbuat demikian.

Dakwaan kononnya kerajaan negeri itu mempunyai kaedah lebih baik untuk menangani rasuah dan salah guna kuasa, adalah sekadar alasan.

Tidak sukar mentafsir keengganan menandatangani dan lafaz IBR bersama SPRM, maksudnya mereka takut kepada komitmen memerangi rasuah secara lebih berkesan dan komprehensif.

Tidakkah tindakan Azmin itu hanya memalukan rakyat negeri Selangor?

Mengapa Azmin takut melainkan ada banyak yang tidak kena dan cuba disembunyikan oleh Menteri Besar itu?

Inikah mentaliti pentadbiran negeri yang kononnya dikatakan maju?

Dua lagi kerajaan pimpinan pembangkang, iaitu Pulau Pinang dan Kelantan telahpun berbuat demikian.

Tetapi kerajaan negeri Selangor pimpinan Azmin dilihat sengaja mencari alasan untuk tidak melaksanakannya.

Adakah Azmin memang tidak mahu melaksanakan IBR atau sama perangai seperti kerajaan Pulau Pinang sebelum ini?

Kerajaan Pulau Pinang setuju melaksanakan IBR dengan tambahan 10 langkah integriti.

Adakah kerajaan negeri Selangor juga akan berbuat demikian?

Tidak kisahlah apa sahaja yang ingin dimasukkan seperti 20 langkah integriti sekalipun, apa yang penting adalah Azmin bersetuju melaksanakan IBR.

Sesungguhnya SPRM sendiri sedang menantikan persetujuan dari Azmin.

Pada 16 Julai lepas, Azmin menyatakan bahawa kerajaan negeri Selangor sentiasa mendukung usaha yang dilaksanakan SPRM bagi memastikan pentadbiran telus dan berintegriti.

Hal itu jelas Azmin dapat dilihat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) setiap minggu yang mewajibkan mereka menandatangani ikrar sebelum pembentangan.

Setiap Exco dan pihak berkaitan akan menandatangani ikrar bahawa tidak terbabit atau tidak mempunyai kepentingan dalam mana-mana kertas yang akan dibentangkan pada hari itu.

Itu adalah pelaksanaan di peringkat kerajaan negeri, IBR pula adalah kerjasama bersama SPRM.

Jadi, Azmin perlu membuktikan kata-katanya bahawa kerajaan negeri Selangor sentiasa mendukung usaha SPRM bagi memastikan pentadbiran telus dan berintegriti.

Jika benar kerajaan negeri Selangor telus dan berintegriti, Azmin perlu segera melaksanakan IBR.

Program IBR adalah bersifat sukarela bagi melihat keprihatinan semua kerajaan negeri dalam memastikan pentadbiran di negeri masing-masing bebas rasuah dan salah guna kuasa.

Kerajaan negeri perlu menunjukkan contoh daripada semua peringkat kerana menerusi IBR, ia membuktikan komitmen sesebuah institusi sebagai salah satu usaha untuk memerangi rasuah.

Adakah SPRM berpolitik apabila meminta kerajaan negeri melaksanakan IBR?

SPRM tidak berpolitik apabila bekerjasama dengan mana-mana organisasi, agensi atau jabatan kerajaan negeri untuk menandatangani IBR.

Kesediaan SPRM itu menunjukkan tanggungjawab mereka dalam memberikan kesedaran selain menunjukkan komitmen memerangi serta membanteras gejala rasuah.

Salahkan SPRM berbuat demikian?

Sudah tentu tidak salah, jika tidak negeri-negeri lain termasuk Pulau Pinang dan Kelantan tidak akan berbuat demikian.

Adakah Azmin takut ada kes rasuah di Selangor akan terbongkar selepas dia menandatangani IBR?

Ia mungkin terjadi seperti mana berlaku membabitkan Exco Kerajaan Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang ditahan dan disiasat SPRM berkaitan operasi kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti.

Jika Azmin terus berlengah, pelbagai persoalan akan timbul terutama membabitkan rakyat di Selangor.

Segera laksana IBR dan tidak perlu takut jika rasuah tidak berleluasa di Selangor.

Jika tidak, rakyat negeri itu akan terus meragui keikhlasan Azmin seperti kata pepatah ‘berani kerana benar, takut kerana salah’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here