Terkejut! Itu reaksi Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Ahmad Shahrul Azhar Sofian dengan kenyataan sebuah akhbar tempatan berhubung aksi Perak dan JDT yang dijangka ‘panas’ pada saingan separuh akhir TM Piala Malaysia 2017 kelak.

Menurutnya, kenyataan berkenaan seakan cuba menimbulkan provokasi khususnya melibatkan kelompok penyokong kedua-dua pasukan.

“Kalau nak ikutkan semi final ni jauh lagi. Lagipun, sepanjang liga kali ini, memang tak ada provokasi. Kita pun dah ada mutual (dengan JDT) agar penyokong tidak datang ke stadium agar tak ada apa-apa insiden berlaku.

“Penyokong kedua-dua pasukan pun dah ada disiplin sendiri, masing-masing nak enjoy tengok perlawanan. Janganlah lagi cerita insiden-insiden yang lepas. Kita sudah kea rah menuju penyokong yang lebih profesional.

“Bagi semi final kali ni pun, kalau ada penyokong JDT yang datang, kita welcome mereka. Begitu juga sebaliknya,. Kita akan bincang dengan mereka (JDT), termasuk dengan semua kelab penyokong kita untuk keep calm, jangan buat provokasi dan lebih berdisiplin,” katanya.

Tambah Ahmad Shahrul Azhar, pihaknya juga telah berbincang dengan pihak keselamatan stadium untuk menambah bilangan anggota keselamatan pada aksi separuh akhir pertama  yang dijadualkan berlangsung di Stadium Perak 14 Oktober kelak.

Katanya, Stadium Perak pastinya akan dibanjiri penyokong yang mahu menyaksikan skuad The Bos Gaurus itu beraksi di peringkat separuh akhir setelah sekian lama tidak beraksi di peringkat berkenaan.

“Kita akan tambah anggota keselamatan untuk bantu tangani jumlah penyokong yang ramai nanti. Kita juga akan cuba jual tiket maksimum.

“Bagi penyokong JDT, kita akan bincang semula dengan pengurusan mereka. Jika ada penyokong JDT yang datang,  seperti yang kita kata tadi kita welcome mereka. Kita tuan rumah, kita mestilah welcome guest kita,” katanya.

— Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here