Thursday, June 21, 2018
Home News Entertainment Akim Bimbing Stacy Dalami Islam

Akim Bimbing Stacy Dalami Islam

0
621

Baru – baru ini kecoh sekali mengenai keputusan penyanyi lagu Pakai Buang, Stacy memeluk Islam nyata mengundang pelbagai pendapat.

Ada yang gembira dengan berita tersebut tidak kurang juga menganggap wanita itu atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy memilih Islam kerana mahu berkahwin. Justeru, ramai yang mengaitkan kononnya cinta telah menyebabkan wanita itu beralih pegangan.

Lelaki yang dikaitkan dengan Stacy, Akim juga tidak menafikan peranan perkahwinan sebagai salah satu cara untuk berdakwah.

“Saya tidaklah marah orang yang cakap begitu. Memang akan ada orang yang bertukar pegangan kerana mahu berkahwin, itu memang berlaku.

“Tetapi dalam soal ini, kita perlulah berfikir secara positif juga. Sudah menjadi tanggungjawab bagi seorang suami sebagai ketua keluarga untuk mendidik isterinya. Malah, tidak salah jika saya juga cuba untuk mendidik Stacy sekiranya kami ada jodoh dan berkahwin,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai perkahwinan, Akim menganggap adalah penting untuk dia memberi masa kepada Stacy agar mendalami Islam terlebih dahulu, sebelum melangkah ke fasa seterusnya.

Sementelah dalam soal perkahwinan, banyak tanggungjawab yang perlu dipikul oleh dirinya sebagai ketua keluarga.

“Buat masa ini, saya mahu dia belajar dan dalami agama dahulu. Saya sendiri pun akan bantu dia secara perlahan-lahan, sampailah kami benar-benar bersedia melangkah ke fasa selanjutnya,” jelasnya.

Menganggap apa yang dilakukan oleh Stacy sebagai satu pengorbanan, Akim sentiasa mengingatkan kekasih hatinya itu untuk sentiasa meletakkan cinta kepada Yang Maha Cinta. Malah, hubungan yang terjalin antara mereka juga datang daripada aturan Allah S.W.T.

“Saya selalu beritahu pada Stacy, jika dia sayangkan saya, Allah yang wujudkan rasa itu dalam hatinya. Jadi sebagai balasan, dia kena sayang pada Yang Maha Esa. Hal-hal sebegini juga yang saya selalu terapkan dalam hubungan kami supaya dia lebih jelas,” katanya.

Bagi Akim, walaupun Stacy tidak bercakap pengorbanan itu untuk dirinya, tetapi dia selalu berfikiran bahawa ia sedikit sebanyak ada kaitan dengan dirinya.

“Saya faham, bila dia peluk Islam, banyak tohmahan yang dia akan dapat dan perkara itu akan menimbulkan kemarahan. Nak kata saya akan beri jaminan atas pengorbanan dia itu memang saya tidak berani apatah lagi sebagai manusia, kita selalu lakukan kesilapan dalam hidup,” katanya, jujur.

“Tapi saya akan beri yang terbaik kepadanya dalam perhubungan kami,” jelasnya.

Bagi Akim, dia sudah berkawan dengan Stacy selama enam tahun dan pengislaman Stacy itu sangat memberikan inspirasi kepada dirinya.

Sumber: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here