AirAsia memberi tawaran menarik kepada semua pelanggan mereka sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan menawarkan pengecualian caj penukaran penerbangan untuk tempahan yang tarikhnya jatuh pada hari mengundi (9 Mei).

Dalam kenyataan media hari ini, syarikat penerbangan tambang murah itu berkata tawaran istimewa tersebut bagi memastikan pelan perjalanan para pelanggan mereka tidak terganggu

“Tawaran ini hanya sah kepada warganegara Malaysia sahaja, dan mestilah dibuat dalam masa sepuluh (10) hari dari pengumuman tarikh mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR),” demikian menurut AirAsia.

Syarikat itu berkata, terdapat dua pilihan tawaran yang disediakan kepada para pelanggan iaitu; Tukar Penerbangan: Membuat satu (1) penukaran tarikh untuk semua tempahan tanpa caj tambahan penukaran penerbangan untuk menangguhkan perjalanan sehingga tiga puluh (30) hari dari tarikh perjalanan asal, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk dan perbezaan tambang atau cukai.

Sementara pilihan kedua adalah; Mengekalkan nilai tambang dalam akaun Ahli AirAsia BIG anda untuk perjalanan masa akan datang dengan AirAsia, dan ditebus dalam masa 90 hari kalendar bermula dari tarikh yang dikreditkan.

AirAsia juga menasihatkan orang ramai untuk tiba di lapangan terbang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan, dan menggunakan perkhidmatan daftar masuk melalui laman web dan aplikasi mudah alih untuk kemudahan mereka.

“Perkhidmatan tersebut boleh didapati 14 hari sebelum waktu pelepasan dan sehingga 60 minit sebelum.

“Bagi para tetamu yang mempunyai bagasi daftar masuk, mereka dinasihatkan untuk tiba lebih awal untuk memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk mendaftar masuk bagasi mereka sebelum ke pintu masuk,” kata syarikat itu.

Justeru itu, orang ramai yang mahu membuat pertukaran tarikh penerbangan atau menerima akaun kredit perlu mengisi e-Borang yang boleh didapati di laman support.airasia.com.

Terdahulu, SPR menetapkan 28 April (Sabtu) sebagai hari penamaan calon diikuti 9 Mei (Rabu) sebagai hari mengundi, sementara pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei (Sabtu).

– mD

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here