Filem papadom 2 yang diarah oleh Afdlin Shauki kini menjengah usia dua tahun sekali gus menjadi filem terakhir terbitan penerbit popular ini.

 

Bagaimanapun, itu tidak bermakna pemilik nama Afdlin Shauki Aksan telah merajuk hati dengan industri hiburan tempatan, malah dia ingin memberi fokus kepada produktiviti karya komedi.

Bakal sibuk dengan program realiti berbentuk permainan secara improvisasi bertajuk Super Spontan All Star, nyata Afdlin mempunyai perancangan sendiri.

Beritahu lelaki yang kini berusia 44 tahun itu, dia dalam perancangan melahirkan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan naskhah miliknya.

Kata Afdlin, dia bakal memulakan penggambaran sebuah filem berlatar belakangkan sejarah perjuangan tentera British dan Australia yang dibawa ke Sandakan, Sabah untuk membina landasan kapal terbang bagi tentera Jepun sebelum dibunuh dengan kejam.

Rancak bercerita mengenai idea perancangan masa depannya itu, Afdlin tidak terlepas meluahkan rasa kecewa terhadap perkembangan dunia filem tempatan yang dilihat hambar berbanding sebelum ini.

KOSMO!: Melihat kepada perjalanan graf karya seni Afdlin, filem Papadom 2 merupakan naskhah terakhir sebelum anda banyak melibatkan diri dengan program komedi. Mengapa perkara itu berlaku?

AFDLIN: Saya tidak membawa maksud untuk berhenti tetapi apa yang saya lihat sekarang industri komedi perlu diberi peluang untuk terus berkembang. Bakat sahaja belum cukup untuk membuktikan seseorang berjaya, malah dia perlu memiliki kekuatan pada kreativiti dan pemikiran kritis sewaktu membuat persembahan.

Sejauh mana perjuangan anda dalam membantu perkembangan dunia komedi tempatan?

Perkara paling penting ialah variasi kerana penonton kini semakin bijak dalam menilai persembahan agar tidak membosankan. Evolusi amat penting dalam memastikan kita dapat melahirkan golongan pelawak berbakat dan bijak mencari bahan jenaka. Disebabkan itu, saya memilih untuk lebih banyak menerbitkan program bercorak seperti ini.

Mengapa anda memilih untuk menerbitkan program komedi berbanding berkarya dalam naskhah filem?

Sejujurnya saya berasa agak tersinggung dengan industri seni tempatan yang dilihat semakin kekurangan karya bermutu tinggi. Kebanyakan pihak produksi menghasilkan drama mahupun filem tanpa memikirkan kualiti jalan cerita atau penghayatan pelakon. Jati diri sebagai karyawan seperti telah hilang demi mengejar keuntungan. Tidak dinafikan wujud beberapa karya berkualiti tetapi disebabkan stigma penonton terhadap produk tempatan tiada kualiti, maka ia jadi tidak berkualiti.

Apakah usaha anda dalam meningkatkan semula produktiviti industri filem tempatan?

Pelaburan dan berani mengambil risiko amat penting demi memastikan dunia seni tempatan terus maju sementelah industri sekarang berada dalam keadaan sukar diramal. Tambahan pula kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam menilai semula peruntukan bantuan kewangan bagi menghasilkan filem.

Perancangan saya buat masa sekarang ialah menghasilkan filem berbahasa Inggeris bagi membolehkan ia dipasarkan ke luar negara. Pada masa yang sama, ia menerapkan elemen kekeluargaan dan kemanusiaan. Saya melihat konsep tersebut lebih mudah diterima dalam pasaran dan boleh pergi sehingga ke peringkat antarabangsa.

Bolehkah anda berkongsi serba sedikit mengenai filem baharu itu?

Saya bakal bekerjasama dengan pihak Finas. Filem ini akan berlatarbelakangkan sejarah kehidupan tentera British dan Australia yang dibawa ke Sandakan, Sabah untuk membina landasan kapal terbang buat askar Jepun, namun akhirnya mereka maut akibat dibunuh dengan kejam. Menjadi sebuah projek mega, naskhah ini juga akan menyaksikan penglibatan beberapa pelakon popular dari Australia yang telah menempa nama di pentas Hollywood. Bagaimanapun, segalanya bergantung kepada perancangan dan bajet.

Tidakkah anda rasa karya berkonsepkan sejarah agak sukar untuk diterima oleh penonton tempatan. Mengapa elemen seperti itu menjadi pertaruhan baharu pada kali ini?

Sejarah adalah sesuatu yang sememangnya telah ditetapkan. Tidak mungkin untuk diubah. Sebagai contoh, filem Titanic juga menggunakan plot sejarah, namun masih ramai berebut ke pawagam untuk menonton.

Apa yang penting, jalan cerita berkaitan kemanusiaan serta menyentuh jiwa ditambah dengan kehebatan para pelakon dalam menterjemahkan watak, perlu kuat. Tambahan pula, saya ingin menghasilkan karya yang mampu memberi inspirasi dan teladan yang baik kepada penonton.

Selain daripada filem tersebut, adakah anda mempunyai sebarang perancangan lain?

Buat masa sekarang saya berhasrat untuk mengadaptasi karya novel Ulu Yam Di Liverpool ke layar perak.

Namun, segalanya dalam peringkat perancangan kerana masih terlalu awal untuk diperkatakan.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here