Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman percaya pendekatannya yang “mesra” dengan kerajaan Selangor selain tidak setuju dengan pendekatan tiga penjuru antara sebab beliau digugurkan daripada jawatankuasa PAS Selangor baru-baru ini.

“Tidak dinafikan, saya mesra dengan kepimpinan kerajaan Selangor kerana exco kita pun ada di sana (dalam pentadbiran).

“Saya cuma berpendirian di mana kerajaan Selangor yang ada hari ini perlu dipertahankan, jika tidak kita akan serah Selangor kepada Umno jika berlaku pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Bukankah ini mandat yang rakyat beri kepada kita pada penggal PRU 2008 dan 2013, malah menteri besar Selangor serta exco-exco PAS kita, telah pun membuktikan Selangor sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa dan lebih berbanding negeri-negeri yang lain,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Khairuddin juga mengesahkan penyingkirannya telah dibuat secara rasmi “dua bulan” lalu.

“Perkara ini (digugurkan) dah dua bulan lepas, saya pun pelik isu ini jadi hangat sejak dua tiga hari lalu, namun saya masih bersama PAS.

“Soal sama ada khidmat dan peranan saya masih diperlukan atau tidak, itu terserah kepada pimpinan PAS Selangor untuk tentukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here