SETELAH  lima tahun melibatkan diri dalam industri hiburan, pelakon Adiba Yunus seronok dan rasa berbaloi setelah dicalonkan bagi kategori Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27).

“Anugerah ini ibarat satu penanda aras untuk saya berada di suatu tahap dalam bidang lakonan. Saya terkejut sebenarnya bila dapat tahu watak saya, seorang isteri psiko dalam filem nasi tangas mendapat perhatian juri FFM. 

“Bagaimanapun saya bersyukur dan kalau tak menang pun dah rasa macam menang dah. Tipulah kalau saya kata saya tak nak menang tapi saya percaya potensi calon-calon lain juga hebat berbanding saya,” katanya pada majlis penamaan calon anugerah tersebut, di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Adiba atau nama sebenarnya Siti Adibah Mohd Yunus, 27, berkata, dia sangat menggemari lakonan pesaingnya Izara Aisyah yang turut dicalonkan dalam kategori sama malah percaya, kemungkinan Izara bakal memenangi kategori itu.

“Saya ada tengok lakonan Izara dan saya kagum. Sama juga untuk watak Nad Zainal, meski pun tanpa dialog, dia berjaya bawa watak dengan baik. 

“Bagi saya, Nasi Tangas adalah filem lakonan pertama saya sebagai watak utama. Usaha saya selama lima tahun bergelar berlakon sudah berhasil dan besar ertinya kepada diri saya,” katanya.

Empat lagi calon dalam kategori sama adalah Dawn Cheong (Cuak), Aisya Hasnaa (Dollah Superstar), Nad Zainal (Kami Histeria) dan Izara Aisyah (Sejoli).

Dalam pada itu, Adiba bakal muncul dalam filem Badi yang akan ditayangkan di pawagam pada 15 Oktober depan.

Kemuncak FFM-27 bakal diadakan pada 5 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur jam 8.30 malam.

Anugerah ini bakal mendapat liputan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan siaran tertunda menerusi RTM.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here