KUCHING – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem tidak akan meletakkan ahli parlimen (MP) sebagai calon pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

“Peraturan umum ialah jika anda seorang ahli parlimen, maka anda ialah ahli parlimen sahaja. Tidak ramai ahli parlimen kita, juga sebagai Adun pada masa yang sama, jadi saya fikir kali ini tiada seorang pun anggota parlimen akan bertanding pada pilihan raya negeri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai calon-calon, Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri merangkap Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata dalam setiap pilihan raya, sentiasa ada beberapa muka baharu.

“Beberapa (Adun) menyatakan kepada saya mereka mahu mengundur diri, sesetengah membayangkan boleh berkhidmat untuk satu lagi penggal, mungkin penggal terakhir untuk mereka, sesetengah terpaksa berundur,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB di ibu pejabat parti di sini, semalam.

Beliau berkata mesyuarat tiga jam itu membincangkan mengenai persiapan bagi pilihan raya negeri akan datang, terutama mengenai strategi untuk diguna pakai, serta tarikh yang sesuai bagi pilihan raya itu.

Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri sekarang berakhir ialah pada 30 Jun tahun depan.

Adenan berkata mesyuarat semalam juga dengan sebulat suara meluluskan semua keputusan dibuat serta dasar yang diterima pakai, dan beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan itu. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here