PENGERUSI HINDRAF, P. Waythamoorthy pada Khamis lalu menyatakan kesediaan gerakan itu memastikan pengundi kaum India menyokong Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Kenyataan itu dibuat susulan pertemuan dan perbincangan Waythamoorthy dengan Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah dua orang bekas menteri, Zaid Ibrahim dan Sanusi Junid.

Waythamoorthy dikatakan meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan selain menyatakan keyakinan gerakan itu dalam memastikan undi kaum India terutamanya di kawasan-kawasan pinggir bandar dan pedalaman di Kedah, Johor, Perak dan Selangor menyumbang secara signifikan terhadap PH sekiranya HINDRAF diterima menjadi komponen kelima blok pembangkang yang terbesar itu.

Sejarah Yang Tidak Pernah Menipu

Kesediaan HINDRAF bekerjasama dengan Mahathir menjelang PRU-14 seolah-olah menunjukkan mereka tidak mengambil pengajaran mengenai nasib yang menimpa kaum India sepanjang pemerintahan 22 tahun bekas perdana menteri itu. Ianya juga dilihat sangat bercanggah dengan prinsip dan pendirian HINDRAF sebelum ini.

Pada Julai 2016, HINDRAF mengingatkan MIC bahawa antara faktor utama ‘kekalahan’ teruk BN pada PRU-12 adalah kepercayaan kaum India yang semakin menghakis terhadap BN lantaran polisi rasis yang diamalkan sejak pentadbiran Mahathir sehingga menyebabkan kaum India dipinggirkan dan dilihat menjadi rakyat kelas ketiga.

Kenyataan itu nyata bukanlah kenyataan kosong. Di bawah pemerintahan Mahathir, nasib kaum India hampir tidak terbela walaupun diwakili MIC dalam kerajaan. Malah, komuniti ketiga terbesar negara itu hilang begitu banyak kekayaan yang dimiliki lantaran lambakan projek pelaburan yang gagal di bawah kepimpinan Mahathir dan MIC yang dahulu.

Mungkin ramai yang masih mengingati bagaimana skandal Maika Holdings, iaitu sebuah syarikat milik MIC, menyebabkan komuniti India khususnya di kawasan pedalaman kerugian simpanan mereka sebanyak ratusan juta ringgit.

Lebih mendukacitakan, pelaburan yang disertai oleh komuniti India melalui Maika Holdings pada ketika itu dibuat dengan penjualan aset-aset mereka termasuklah hartanah setelah dijanjikan pulangan berpuluh kali ganda. Mereka akhirnya terpaksa berputih mata.

Ini hanyalah satu contoh bagaimana pemerintahan Mahathir dan kepimpinan MIC di bawah presidennya ketika itu Datuk Seri S Samy Vellu hampir tidak melakukan apa-apa untuk komuniti India.

Malah, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa pemerintahan Mahathir adalah era yang paling malang buat orang India di negara ini. Kegagalan pemerintahannya menjaga kebajikan komuniti India langsung tidak diakui Mahathir, sebaliknya dipersalahkan pula kepimpinan MIC yang ada pada ketika itu.

Mahathir Dan Sindrom Penafian

Sikap suka menyalahkan orang lain ini mencerminkan siapa Mahathir sekarang. Tidak sampai 24 jam setelah pertemuannya dengan Waythamoorthy, Mahathir mendakwa pemerintahannya dahulu telah banyak memperuntukkan wang untuk pembangunan kaum India melalui MIC, namun wang tersebut dikatakan telah ‘dilencongkan’ ke tempat lain.

Ini adalah satu kenyataan penafian yang hanya membuktikan lagi kegagalan pentadbiran Mahathir. Jika benar peruntukkan tersebut telah diseleweng, mengapa beliau tidak mengambil sebarang tindakan sedangkan beliau adalah perdana menteri pada ketika itu?

Kenyataan Mahathir ini tidak lain hanyalah untuk membangkitkan kemarahan kaum India terhadap MIC agar sokongan komuniti tersebut bertambah terhadap HINDRAF. Tidakkah HINDRAF ingat bagaimana Mahathir pada 2008 melabelkan gerakan itu dan penyokongnya sebagai rasis? Malah, Mahathir pernah mendakwa HINDRAF adalah satu entiti yang langsung tiada kepercayaan terhadap integriti institusi di Malaysia.

Bercakap mengenai pembangunan komuniti India, hakikatnya peruntukan kepada kaum India sewaktu pemerintahan Mahathir banyak disalurkan melalui kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan yang akhirnya menyebabkan kesuluruhan peruntukan tersebut gagal sampai kepada kumpulan sasaran.

Selepas kegagalan demi kegagalan, orang India sewajarnya jangan lagi percayakan bekas perdana menteri itu. Tidakkah mereka sepatutnya telah belajar sesuatu?

Ke Arah Masa Depan Yang Lebih Baik

Berbanding Mahathir, pendekatan perdana menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak dilihat lebih bijak dan inklusif. Peruntukan untuk pembangunan komuniti India dalam pelbagai aspek disalurkan secara terus dan ini termasuklah peruntukan yang diberi kepada pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

Najib terbukti adalah perdana menteri yang jauh lebih komited terhadap kepentingan kaum India. Pada 2010 umpamanya, Najib memperuntukkan sejumlah RM 300 juta ringgit untuk pembangunan sekolah-sekolah Tamil selain ratusan juta yang lain diperuntukkan pula untuk pinjaman perusahaan orang-orang India melalui pelbagai agensi dan program seperti TEKUN dan Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED).

Ini hanya sejumlah kecil contoh sumbangan yang telah diberikan Najib terhadap pembangunan komuniti India di Malaysia. Walaupun di sana mungkin masih terdapat beberapa ruang yang perlu ditambah baik, setidak-tidaknya pentadbiran yang ada pada waktu ini membuktikan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan nasib kaum India di Malaysia terus terbela dan kebajikan mereka pula terus membangun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here