Kes “Rafizi dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan” menjadi topik perbualan hangat di Malaysia minggu ini. Pelbagai tanggapan dan persepsi dibuat oleh masyarakat termasuk golongan politikus di negara ini. Para pemimpin Pakatan Harapan menggunakan kesempatan melabelkan Rafizi sebagai “mangsa” ke atas sistem perundangan Malaysia yang berat sebelah semata-mata kerana bertindak sebagai “whistleblower” mendedahkan data perbankan syarikat NFC, yang dituduh menyalahgunakan dana awam. Mensensasikan perkara ini untuk memainkan emosi dan amarah rakyat amat berkesan memandangkan PRU ke-14 semakin hampir. Lebih-lebih lagi, syarikat ini adalah kepunyaan suami TS Sharizat Jalil, salah seorang pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang mempunyai isu berkaitan penternakan lembu.

Walaubagaimanapun, para pembaca diseru supaya melupakan sebentar perasaan amarah dan emosi dengan memfokuskan kepada sistem perundangan di Malaysia yang menuntut keadilan sewajarnya. Di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA), adalah menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang itu mendedahkan maklumat sulit akaun pelanggan kepada pihak ketiga. Persoalan tentang dari mana datangnya sumber kewangan akaun pelanggan tersebut adalah satu perkara lain. Jika dapat dibuktikan bahawa terdapat kesalahan mengenai punca pendapatan syarikat NFC, Rafizi perlu  menggunakan saluran yang betul bagi mendakwa perkara ini.

Bagaimana perasaan para pembaca jika maklumat sulit kita disalah guna,  umpamanya syarikat telekom menjual maklumat sulit kita kepada syarikat insuran demi melariskan produk mereka? Pernahkah para pembaca mengalami perkara ini? Pastinya sesiapa sahaja merasa marah kerana maklumat sulit ini telah diceroboh dan disalah guna demi keuntungan peribadi syarikat telekom tersebut. Pastinya semua pengguna berharap sistem perundangan di Malaysia akan melindungi kita dari menjadi mangsa keadaan. Begitu juga dengan kes Rafizi. Sekiranya beliau didapati tidak bersalah, maka akan lebih banyak maklumat sulit individu lain akan disebarkan dengan mudah oleh golongan tertentu.

Jelas sistem perundangan di Malaysia telah bertindak adil, profesional dan matang. Pelanggaran akta BAFIA iaitu mendedahkan maklumat sulit akaun pelanggan kepada pihak ketiga tetap salah dan perlu dihukum! Ia penting bagi memastikan tiada mangsa lain yang akan mengalami perkara ini demi kepentingaan tertentu sesuatu individu atau syarikat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here