Ahli politik dari pihak kerajaan dan pembangkang Sabah berbelah bahagi terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, watak yang paling diingati kerana Projek IC, serta pelbagai masalah lain secara lazimnya dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu.

Ini berikutan seruan Datuk Seri Shafie Apdal, teraju Parti Warisan Sabah, menggesa rakyat Sabah memaafkan Dr Mahathir demi kebaikan negara.

Shafie berkata hanya Dr Mahathir yang boleh keluarkan Malaysia daripada masalah yang melanda negara ketika ini.

Namun Datuk Jeffrey Kitingan, yang menerajui Parti Solidariti Tanah Airku, tidak bersetuju.

Beliau berkata melupakan 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir bukan perkara yang mudah buat Sabah, dan perasaan benci pada bekas orang kuat Umno itu kekal hingga ke hari ini.

“Beliau hanya berjuang untuk menyingkir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Saya tak percaya kata-katanya.

“Bagi Dr Mahathir, hak Sabah cuma sementara dan tanah negeri ini patut dimiliki kerajaan persekutuan. Hanya Tuhan yang boleh memaafkan, kerana kami rakyat Sabah tidak boleh melupakan apa yang telah berlaku,” katanya.

Pendirian Jeffrey tidak mengejutkan.

Dr Mahathir dipersalahkan untuk Projek IC, suatu projek rahsia di mana ribuan orang asing diberi kerakyatan Malaysia dan menukar demograsi Sabah untuk memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno.

Sentimen Jeffrey itu dikongsi Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Seri Teo Chee Kang, salah satu parti komponen BN. Beliau merupakan menteri tugas-tugas khas dalam kerajaan negeri.

“Bolehkah rakyat Sabah percayakan seorang pemimpin yang mengorbankan kepentingan negeri untuk kepentingan politik peribadi, melihat kepada kerosakan kekal yang sudah beliau lakukan pada Sabah iaitu mengubah demografi Sabah melalui Projek IC?” soalnya.

Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Datuk Seri Lajim Ukin, 2 parti komponen Gabungan Sabah, berkata kenyataan Shafie itu membuktikan beliau sendiri percaya Dr Mahathir ada melakukan sesuatu yang tidak betul.

“Kalau tidak, Shafie tidak akan bercakap begitu. Saya ingin tahu apakah yang Shafie rasakan kesilapan dan kesalahan yang perlu rakyat Sabah maafkan itu,” kata Yong.

Pemimpin masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) dan Cina dari parti-parti BN lebih keras terhadap cadangan Shafie itu.

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun dan pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyalahkan Dr Mahathir sepenuhnya dalam kes Projek IC, terutama apabila ahli politik berusia 93 tahun itu membuat pengakuan secara terbuka sebelum ini.

Mereka berkata alasan Dr Mahathir bahawa apa yang beliau lakukan itu tidak berbeza dengan apa yang dilakukan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, tidak bersangkut paut kerana sewenang-wenangnya memberikan kerakyatan pada pendatang dari negara lain ialah tindakan khianat yang menjejaskan Malaysia.

“Saya baru sahaja bertemu seorang wanita tua di Tamparuli yang memegang kad pengenalan merah. Dia sedih selepas mendapati namanya digunakan oleh orang lain. Jadi bagaimana boleh kami maafkan Dr Mahathir?” kata Tangau, Ahli Parlimen Tuaran di mana terletaknya DUN Tamparuli.FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here