PARLIMEN Malaysia ke-13 mempunyai beberapa bulan sahaja lagi dari sekarang sebelum mandatnya tamat.

Sekarang juga adalah masa yang sesuai untuk pelbagai pihak membuat spekulasi bilakah pilihan raya umum akan datang diadakan.

Parlimen pada penggal ini akan terbubar secara automatik pada 24 Jun 2018 jika ianya tidak dibubarkan sebelum itu dan pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran tersebut.

Bagaimanapun perkara itu tidak mungkin berlaku kerana kerajaan sentiasa membubarkan Parlimen lebih awal sejak dari dahulu lagi.

Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, proses pembubaran selalunya bermula apabila Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong yang akan memberikan persetujuan untuk membubarkan Parlimen.

Pembubaran secara automatik akan menamatkan proses simbolik ini yang penting untuk menegaskan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Baru-baru ini, timbul cadangan daripada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menyarankan bahawa pengumuman awal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) penting supaya rakyat dapat membuat persediaan dan persiapan.

Persoalannya, persediaan dan persiapan macam mana yang perlu dilakukan oleh rakyat?

Ini bukan pilihan raya kali pertama yang perlu ditempoh oleh rakyat walaupun ada antaranya baharu pertama kali mahu mengundi.

Persiapan rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) bukan memerlukan mereka menyusun atur strategi, memikirkan soal logistik dan keselamatan.

Sebagai pengundi, mereka hanya perlu pastikan keluar mengundi sahaja.

Masa yang diambil oleh seorang rakyat atau pengundi tidak sampai pun satu jam dari tempoh mereka keluar rumah menuju ke pusat membuang undi.

Apabila selesai memangkah, mereka akan terus pulang dan ada juga tempat yang menyediakan khidmat mengambil dan menghantar.

Rakyat juga tidak perlu fikir siapa hendak jaga kotak kertas undi dan mengira kertas undi atau sebagainya.

Itu semua sudah diuruskan dengan baik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Apa rasionalnya cadangan supaya Perdana Menteri mengumumkan tarikh PRU-14 lebih awal?

Secara umumnya, rakyat sudah tahu secara asasnya bila PRU-14 akan diadakan.

Perkiraan rakyat dalam mentafsirkan tarikh PRU ialah lima tahun sekali.

Paling awal dalam masa empat setengah tahun. Sebagai contohnya, PRU-13 diadakan padaMac 2013.

Jika secara automatik lima tahun selepas itu iaitu April atau Mei atau Jun 2018 tamatlah tempoh untuk PRU-13.

Sejarah 13 kali PRU pula tidak pernah diadakan lewat dari tarikh tempoh tamat penggal atau awal setahun dari tempoh itu.

Maknanya, bila masuk Januari 2018, rakyat boleh membuat persiapan dan persediaan untuk menghadapi PRU.

Itu pun kalau rakyat benar-benar mahu buat persiapan dan persediaan sebagaimana dikatakan oleh Mahfuz.

Terpulang kepada kerajaan sama ada hendak mengumumkan tarikh pilihan raya awal ataupun tidak.

Ianya tidak menjadi kesalahan selagi tempoh penggal PRU-13 belum berakhir. Tiada sesiapa yang boleh mempertikaikannya.

Tiada apa-apa yang menghalang kerajaan untuk membawa mandat semasanya hingga ke tahun 2018.

Tambahan pula, terdapat tempoh yang selesa untuk mengadakan pilihan raya sebelum bermulanya bulan puasa pada pertengahan Mei 2018.

Semuanya terletak di tangan kerajaan dan Perdana Menteri. Tiada siapa boleh mempersoalkannya.

Rakyat hanya perlu menunggu bila PRU-14 akan diadakan, bila sampai masanya, turun laksanakan tanggungjawab dengan mengundi.

Itu sahaja, mudah sahaja sifirnya bukan?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here