JIKA Tan Sri Muhyiddin Yassin menggelarkan UMNO ibarat besi buruk yang tidak lagi memperjuangkan nasib orang Melayu, bagaimana pula dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Adakah penubuhan PPBM bagi membela dan menyatupadukan orang Melayu di negara ini?

Penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 mempunyai matlamat jelas iaitu mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Berbeza dengan PPBM, mereka bukan sahaja tiada hala tuju, tetapi parti ini ditubuhkan demi nafsu politik pihak tertentu dan yang paling utama jelas untuk menjatuhkan kepimpinan sedia ada diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jadi, di mana kelebihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Sebenarnya langsung tiada kelebihan kerana kewujudan parti baharu itu terus memperlihatkan bahawa orang Melayu semakin berpecah belah.

Kini, rakyat dapat melihat orang Melayu asyik menghentam dan memecah-belahkan sesama sendiri.

Pada masa sama, kaum lain terus gigih memperluaskan kuasa dan kedudukan mereka di samping membantu di antara satu sama lain.

Jadi apa gunanya penubuhan PPBM? Orang Melayu terus berpecah dan dengan perpecahan itu Melayu mungkin akan kalah pilihan raya akan datang sekali gus hilang kuasa politik yang dipegang selama ini.

Apabila ini berlaku, siapa yang akan tersenyum lebar? Pastinya DAP yang sememangnya ingin melihat orang Melayu berpecah dan mereka pasti mahu memenuhi impian mengambil alih pemerintahan negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin pasti lupa parti mana yang selama ini mengangkat dirinya sehingga menjadi Timbalan Perdana Menteri.

UMNO telah memberikan kesesahteraan hidup kepada Muhyiddin selama 50 tahun beliau menyertai parti keramat orang Melayu itu.

Muhyiddin yang pernah mengaku dirinya sebagai ‘totok UMNO’ perlu sedar, walaupun beliau meninggalkan UMNO, majoriti ahli UMNO bahagiannya di Pagoh dan negeri Johor masih teguh bersama UMNO walaupun mereka tidak berjawatan.

Perlu diingat, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga keluar masuk UMNO tiga kali dalam sejarah politiknya.

Perlu juga diingat, adakah PPBM kini bergerak secara bersendirian dalam arena politik negara?

Pastinya Muhyiddin lupa PPBM kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP.

Menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang, PPBM pastinya akan bergantung kepada DAP dan PKR untuk menghadapinya.

Selain itu, PPBM juga sedang menghadapi pelbagai masalah akibat terlalu banyak aduan ahlinya terhadap pengurusan parti itu selain bergelut dalam perebutan kerusi dengan parti komponen PH yang lain.

Sebelum ini ramai pemimpin dan pengasas PPBM telah meninggalkan parti itu kerana tidak lagi percaya kepimpinan parti berkenaan antaranya Datuk Hamidah Osman dan Ketua Srikandi PPBM, Anina Saaduddin.

Lihat sahaja semasa perhimpunan agung pertama PPBM, adakah ia dijadikan platform untuk membincangkan mengenai agenda membela nasib orang Melayu?

Perhimpunan itu hanya dijadikan pentas menghamburkan kemarahan Mahathir kepada Perdana Menteri.

Adakah PPBM diyakini oleh orang Melayu dapat membela nasib mereka pada PRU akan datang?

Rakyat pastinya dapat menilai ‘besi buruk’ yang sebenarnya.

Nasib dan masa depan ‘besi buruk’ itu pasti akan ditentukan rakyat pada PRU akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here