PAS

Sejak pilihan raya umum ke-14 semakin hampir, pelbagai bentuk spekulasi dan khabar angin yang kendengaran. Namun sehingga kini setiap yang masuk ke telinga tidak dapat dipastikan kebenarannya. Satu hal menarik yang membuatkan pilihan raya umum akan datang ini bakal menjadi pilihan raya umum terpenting dalam sejarah ialah hubungan parti-parti politik yang ada dalam membentuk konsensus, pakatan atau kerjasama demi mencapai matlamat politik yang lebih baik dan cerah.

Sejak Parti Islam SeMalaysia (PAS) keluar dari pakatan pembangkang dan membentuk gabungan politik sendiri, parti berkenaan dilihat sebagai berseorangan dan menyimpan cita-cita besar. Sebagai sebuah parti yang lama dalam arena politik tanah air, PAS merasakan diri mereka boleh berdiri sendiri dan memimpin sesebuah gabungan politik demi memastikan penguasaan yang lebih besar di peringkat negeri dan persekutuan.

Untuk muncul sebagai parti pemerintah, PAS sebenarnya belum berada pada tahap yang kukuh walaupun sudah bertapak lebih dari 50 tahun di Malaysia. Ini kerana PAS masih gagal menerobos negeri Sabah dan Sarawak dan ideologi Islam kental yang dibawakan parti ini sebenarnya tidak begitu diterima di kedua-dua negeri berkenaan. Justeru suka atau tidak, PAS tetap memerlukan gabungan politik untuk melangkah masuk ke kedua-dua negeri itu. Walaupun sudah mempunyai Bahagian dan Cawangan di Sabah dan Sarawak namun kekuatan akar umbi PAS di negeri-negeri itu tidak sama kesannya seperti di Semenanjung.

Jadi dalam pilihan raya umum ke-14 ini, siapa agaknya pilihan PAS untuk membentuk kerjasama. Bagi mendokong aspirasi dan cita-cita bersama-sama Pakatan Harapan (PH) kemungkinan besar hal berkenaan tidak akan menjadi kenyataan. Ini kerana perseteruan PAS dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) sudah sukar untuk ditenangkan, malah keadaan hubungan kedua-dua pihak juga semakin buruk. Satu lagi faktor ialah PH dianggotai oleh Parti Amanah Negara (AMANAH), sebuah parti serpihan dari PAS yang dipimpin dan dianggotai oleh individu yang tidak lagi mempercayai kepimpinan PAS kini.

Sehubungan itu, untuk melihat PAS bakal bergabung dengan PH, hal ini amat mustahil dan sukar untuk direalisasikan. Namun kemungkinan dalam politik tidak ada batasnya dan jika mungkin berlaku jalinan hubungan di saat akhir, PAS kemungkinan besar akan menuntut posisi yang lebih dominan dalam gabungan politik itu.

Selain itu, sudah timbul cakap-cakap yang mana PAS bakal menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Hal ini semakin jelas apabila UMNO Kelantan menerusi Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Mustapha Mohamed menyatakan UMNO menganggap PAS itu sebagai saudara sesama Islam dan tidak mengambil pendekatan menghentam, sebaliknya meletakkan di kedudukan yang lebih bertanggungjawab dalam menilai kedudukan PAS di negeri berkenaan.

Malah Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa pula menganggap PAS dan UMNO memiliki DNA yang sama untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam. Justeru Annuar percaya bakal wujud kerjasama antara kedua-dua parti berasaskan kepada titik persamaan yang ada. Annuar juga dilihat begitu teruja mahu PAS dan UMNO duduk semeja bagi membincangkan permasalahan Melayu dan Islam secara bersama.
Tawaran kepada PAS oleh UMNO kini dilihat terbuka dan tidak berselindung lagi. Namun di pihak PAS belum ada apa-apa kenyataan yang menyahut secara berlapang dada tawaran ini. Kemungkinan besar PAS belum bersedia untuk mencipta kejutan ini. Namun kerjasama politik ini kini hanya memerlukan sambutan salam yang erat dari PAS kerana UMNO sedang menunggu untuk menjalin ikatan yang sebelum ini dilihat mustahil.

Jika PAS dan UMNO bersatu dalam satu gabungan adakah kedudukan politik Malaysia bakal berubah dan pengukuhan dari sudut penguasaan Melayu-Islam dalam kancah politik negara akan kekal kukuh dan mencengkam? Itu mungkin satu sudut penting yang boleh diterokai dari hal kerjasama kedua-dua parti berpengalaman ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here