SELAIN berjaya mempertahankan Kelantan, PAS membuktikan kemampuannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila berjaya merampas negeri Terengganu.

Selain itu, PAS juga hampir merampas negeri Kedah apabila menang kira-kira 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

Ketika ini, PAS sudah pun membentuk kerajaan negeri di Kelantan dan Terengganu.

Adakah kejayaan PAS itu juga kesan tsunami rakyat yang menolak Barisan Nasional (BN)?

Kejayaan PAS pastinya bertitik tolak kepada kepercayaan rakyat khususnya di Kelantan dan Terengganu kepada parti itu.

Di Terengganu, setelah gagal selama tiga penggal berturut-turut, PAS akhirnya menguasai semula negeri itu.

Ia hasil kebangkitan baharu yang diperlihatkan hasil sokongan lebih meluas rakyat yang kembali memberikan kepercayaan kepada PAS.

Adakah keputusan rakyat itu salah?

Pilihan rakyat itu perlu dihormati apabila PAS sekali lagi melakukan perubahan dalam keadaan yang mengejutkan, sebagaimana parti itu pernah diberi peluang untuk berkuasa selama sepenggal pada 1999 di Terengganu.

Di Kelantan juga sebenarnya tidak ada sesuatu yang mengejutkan dengan kemenangan PAS di negeri berkenaan.

Pastinya ramai pihak tidak menganalisa suasana politik di Pantai Timur khususnya di Terengganu dan Kelantan kerana memberikan tumpuan kepada apa berlaku di Pantai Barat.

Di Pantai Barat Semenanjung, tsunami berlaku di Selat Melaka membawa hampir ke Laut Andaman, Johor sehingga ke Kedah.

Ranap kese­muanya yang tinggal hanya puing-puing sebagai tanda ke­na­ngan PRU-14.

Jadi, tidak ramai menyentuh me­ngenai Terengganu dan Ke­lantan khususnya PAS.

PAS di Kelantan misalnya berjaya bangkit untuk bertahan dengan cemerlang terutama di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PAS berjaya merampas kembali empat kerusi yang mana tiga daripadanya di bawah BN dan satu di bawah PKR ketika mereka bersama dalam Pakatan Rakyat pada 2013.

Rakyat di Kelantan kekal menyongsang arus.

Mereka wala’ dan istiqamah dengan parti yang diwariskan oleh Allahyarham Da­tuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Malah mereka lebih kuat, menenggelamkan terus ancaman daripada Pakatan Harapan (PH).

Sememangnya PAS di Kelantan sejak dari awal lagi meramalkan akan kekal di negeri itu dengan membuatkan pakatan parti yang disertai DAP, PKR, PAN dan PPBM hilang deposit.

Langkah jentera parti itu amat bergaya, tidak go­yang langsung.

Pakatan Harapan hilang deposit di 45 daripada 59 kerusi DUN dan Parlimen yang dipertandingkan termasuk pemimpin utama PPBM, Datuk Sazmi Miah.

Ini bermakna rakyat di Kelantan tidak ikut serta gelombang di Pantai Barat walaupun Pakatan Harapan mendapat suntikan sema­ngat daripada anak ke­dua bekas Mursyidul Am Pas, Nik Omar Nik Abdul Aziz yang bertanding di DUN Panchor, namun realitinya beliau juga hilang deposit.

Orang Melayu dan Islam di sini kekal tidak percaya dan yakin dengan DAP.

Mereka sama seperti masyarakat Melayu dan Islam di Kedah dan Terengganu yang menolak BN tetapi kekal bersama dengan PAS, konservatif.

Apakah masa depan Kelantan dan Terengganu untuk tempoh lima tahun lagi?

Tiada siapa yang tahu, namun selagi bayu Laut China Selatan bertiup, Kelantan akan terus kekal menjadi kubu kuat PAS.

Terengganu telah menunjukkan episod perubahan takhta sebelum ini yang menyaksikan PAS hanya mentadbir negeri itu hanya untuk tempoh sepenggal.

Adakah PRU-14 kali ini menunjukkan PAS semakin diterima oleh rakyat?

Adakah PAS berjaya membuktikan kemampuan sebenarnya pada PRU-14 dan akan terus berjaya selepas ini bersama Gagasan Sejahtera?

PAS telah pun membuktikan pada PRU-14 kali ini bahawa saingan parti itu tidak boleh dipandang mudah walaupun tidak bersama parti politik dominan di negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menegaskan parti itu tidak menyesal tidak bersama Pakatan Harapan.

Apa diharapkan, PAS akan terus kekal dengan pendiriannya untuk tidak bersama Pakatan Harapan yang kini menerajui Putrajaya.

Jangan dibiarkan episod lompat si katak lompat turut berlaku kepada PAS kerana itu melambangkan kekuatan sebenar PAS.

Tahniah kepada PAS dan selamat mentadbir negeri Kelantan dan Terengganu.

Kekuatan PAS sebenarnya tidak boleh dipertikai.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here