SEPERTI yang dijangka lebih awal, PKR akhirnya mempertaruhkan anak sulung Anwar, Nurul Izzah untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU nanti. Izzah bakal menggantikan ibunya sendiri, Wan Azizah, yang kini bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rafizi Ramli di kerusi Parlimen Pandan.

Menamakan Izzah sebagai calon Pakatan Harapan di Permatang Pauh datang dengan dua sebab utama. Pertama, PKR nampaknya masih mahu mengekalkan legasi anak beranak Anwar dengan apa cara sekalipun di kawasan tersebut. Keduanya, tidak lain dan tidak bukan adalah bagi memberikan kerusi ‘selamat’ buat Izzah setelah pembangkang melihat sokongan terhadap mereka telah menyusut dengan teruk di kerusi Izzah sebelum ini iaitu di Lembah Pantai.

Pada hemat Pakatan Harapan, kerusi Lembah Pantai tampak seakan-akan pasti dirampas BN pada PRU kelak lantaran hebat dan mendadaknya peningkatan sokongan rakyat yang ditunjukkan terhadap calon BN, Datuk Seri Raja Nong Chik. Maka atas faktor itu PKR menyenaraikan pengarah komunikasi parti tersebut Fahmi Fadzil untuk mencuba nasib dalam penyertaan sulungnya dalam PRU tanahair.

Namun, untuk mengatakan kerusi Parlimen Permatang Pauh adalah kerusi ‘selamat’ untuk Izzah dan PKR sendiri sebenarnya tidak menggambarkan realiti di lapangan. Tambahan pula, sebelum Anwar mula bertanding di kawasan tersebut pada 1982, kerusi itu secara tradisinya ditandingi PAS. Dengan PAS kini menurunkan calon heavyweight mereka di kawasan tersebut iaitu Afnan Hamimi Taib Azamudeen yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, prospek Izzah untuk mengekalkan legasi PKR di Permatang Pauh nampak semakin kelam.

Tentulah faktor utama yang bakal menjadi halangan kepada agenda tersebut adalah sokongan meningkat kepada BN yang terlihat akhir-akhir ini selain populariti tinggi yang dimiliki calon BN di kerusi tersebut, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said. Berbanding wakil rakyat sebelum ini iaitu Wan Azizah yang hanya bertumpu di Selangor dan ibu negara, Zaidi telah sekian lama menggerakkan jentera kerja BN di kerusi panas tersebut dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Bagi rata-rata penduduk di Permatang Pauh, komitmen masa dan tenaga yang telah diberikan Zaidi kepada kebajikan masyarakat tempatan selama ini memperlihatkan seolah-olah beliaulah wakil rakyat sebenar mereka. Kehadirannya di sisi mereka lebih banyak dirasakan berbanding dengan wan Azizah. Bahkan dalam peristiwa banjir yang melanda seluruh Pulau Pinang hujung tahun lalu, Wan Azizah dilihat hampir ‘tidak wujud’ dalam radar rakyat di Permatang Pauh yang turut teruk terjejas.

Sebaliknya bagi Zaidi dan BN yang memperlihatkan keperihatinan dan tindakan segera dalam menjamin kebajikan penduduk tetap terjaga. Ramai meyakini bahawa inilah faktor utama Wan Azizah ‘melarikan diri’ ke Pandan. Beliau nyata tidak yakin dengan prospek mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh setelah sedar bahawa dirinya tidak pun memberikan khidmat seperti yang diharapkan oleh penduduk di kawasan tersebut.

Mempertaruhkan Izzah di Permatang Pauh juga memperlihatkan strategi PKR yang masih mahu bermain dengan emosi dan elemen simpati sesetengah rakyat terhadap Anwar serta ahli keluarganya. Namun PKR dan Pakatan Harapan sendiri perlu lebih bijak menilai pola sokongan politik rakyat ketika ini. Pengundi hari ini tidak lagi mudah terpengaruh dengan permainan seperti itu. Faktor emosi dan simpati hanyalah pertimbangan yang sia-sia jika wakil rakyat yang dipilih hanya tahu ‘menunjukkan muka’ tanpa memberikan sebarang khidmat yang bermakna.

Menjelang PRU yang bakal menjelang dua minggu sahaja lagi, penduduk di Permatang Pauh pasti akan menilai kembali khidmat mengecewakan yang diberikan Wan Azizah selama ini, dan dalam proses tersebut gerak kerja Izzah yang serba tumpul di Lembah Pantai tentu akan turut dijadikan kayu ukur. Dengan undi pembangkang bakal terpecah dua kepada PKR dan PAS, peluang BN untuk meruntuhkan legasi Anwar dan PKR di Permatang Pauh tampak paling cerah kali ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here