MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang, pelbagai dakwaan dibuat kononnya kerajaan tidak lagi mempedulikan nasib bumiputera di negara ini.

Pelbagai tuduhan dilemparkan terutama di rangkaian media sosial semata-mata mahu mencetuskan satu persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa keadaan itu benar-benar berlaku.

Persepsi itu kemudian terus bermain-main di fikiran dan minda segelintir rakyat sehingga mereka membuat pelbagai dakwaan dan tuduhan.

Adakah dakwaan itu benar?

Jika difikirkan, adalah mustahil kerajaan mengabaikan golongan bumiputera yang merupakan kumpulan majoriti di negara ini.

Dari segi jumlah kependudukan terkini, golongan bumiputera mewakili 68.6 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia iaitu sebanyak 31.7 juta orang.

Diunjurkan, jumlah tersebut akan meningkat kepada 69.1peratus kira-kira tiga tahun lagi.

Dijangka juga, menjelang tahun2030, jumlah keseluruhan bumiputera boleh mencapai 70.7 peratus.

Apa yang boleh dirumuskan berdasarkan statistik tersebut, jumlah keseluruhan golongan bumiputera dijangka meningkat sehinggalah 13 tahun akan datang.

Dengan berlakunya pertambahan tersebut dan dengan kedudukan sebagai golongan majoriti, tidak mungkin kerajaan mengambil sikap acuh tidak acuh dalam konteks membangun dan memperkasakan agenda bumiputera.

Apatah lagi tuntutan untuk memelihara kepentingan golongan bumiputera jelas termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Agenda membangun dan memperkasakan golongan bumiputera sejak beberapa dekad yang lalu sebenarnya telah banyak memberi manfaat kepada negara khususnya untuk menyeimbangkan kedudukan ekonomi antara semua kaum di Malaysia.

Semuanya bermula dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970, setahun selepas berlaku peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Sejak itu, kerajaan terus mengorak langkah untuk membantu dan memberi sokongan kepada golongan bumiputera sehinggalah hari ini.

Antara kejayaan terbesar melalui agenda pemerkasaan bumiputera ialah menurunkan kadar kemiskinan yang banyak melibatkan golongan itu.

Pada 1970, kadar kemiskinan yang dahulunya pada kedudukan 49.3 peratus telah berkurangan kepada 3.8 peratus pada tahun 2009 dan terus menyusut 0.6 peratus pada 2014.

Tidak terkecuali dalam bidang pendidikan. Penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) atas agenda bumiputera berjaya melahirkan lebih 700,000 graduan anak-anak Melayu.

Lebih membanggakan lagi ada di antara mereka yang mendapat pendidikan di UiTM mempunyai nama yang cukup besar dalam bidang masing-masing khususnya profesional dan teknokrat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara juga memberikan tumpuan untuk membangun dan memperkasakan agenda bumiputera dengan menubuhkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) pada Februari 2011 dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) pada 1 September 2009.

Kedua-dua agensi itu bertanggungjawab membantu dan memajukan lagi syarikat bumiputera yang berdaya saing, seterusnya disenaraikan di Bursa Malaysia.

Persoalannya di sini, adakah pembangkang terutama DAP akan membela nasib bumiputera jika mereka menang PRU-14?

Jika dilihat, untuk kesekian lama pemimpin DAP terutama Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng mendakwa DAP bukan parti hanya untuk orang Cina sebaliknya untuk semua kaum.

Namun, adakah hakikatnya seperti yang didakwa kedua-dua anak-beranak itu?

Jika keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru-baru ini menjadi sandaran, DAP perlu menilai semula kenyataan mereka itu.

DAP sebenarnya tidak langsung mempunyai tempat untuk pemimpin Melayu.

Daripada 20 orang yang dipilih ke jawatan itu, hanya tiga bukan Cina, iaitu dua India dan seorang Melayu. Melayu yang seorang itu pun berada di tangga ke-19.

Adakah Kit Siang dan Guan Eng berbohong selama ini dengan mendakwa DAP bukan parti orang Cina, tetapi ialah parti pelbagai kaum?

Jadi, adakah boleh diharapkan kepada pembangkang terutama DAP untuk membela nasib bumiputera?

Kerajaan pimpinan UMNO dan BN terus menjadikan agenda bumiputera sebagai teras pembangunan nasional dalam usaha Malaysia mencapai status sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Seperti yang sering ditekankan Najib, sebarang perkara atau daya usaha nasional yang tidak mengambil kira agenda bumiputera tidak boleh dianggap adil kerana kesejahteraan sebenar hanya dikecapi apabila tiada sesiapa pun yang tercicir.

Justeru, banyak hak bumiputera telah dibela melalui agenda khusus bagi bersama-sama menikmati hasil daripada kestabilan serta kemakmuran negara.

Jangan sampai hak serta keistimewaan bumiputera lenyap serta dihapuskan oleh pihak yang sehingga kini mencemburuinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here