Tan Sri Khalid Ibrahim mendedahkan ada pihak tertentu dan berkepentingan yang cuba mempengaruhi penyelesaian kes tanah yang dirampas kerajaan negeri di Ijok, Selangor.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan semalam yang mempersoalkan keputusan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali menyerahkan semula tanah bernilai tinggi itu kepada 2 syarikat.

Rahman berkata keputusan Azmin menghairankan kerana mahkamah memihak kepada tindakan kerajaan negeri merampas tanah-tanah tersebut.

“Semasa kes-kes ini berjalan, terdapat percubaan oleh pihak-pihak tertentu untuk membuat tawaran kepada saya sebagai menteri besar untuk menyelesaikan perkara ini,” kata Khalid dalam kenyataan hari ini.

“Terdapat juga pihak berkepentingan tertentu termasuk ejen-ejen tanah (land brokers) dan institusi-institusi kewangan yang tidak mahu projek-projek tersebut dipulihkan.”

Bekas menteri besar Selangor itu berkata pihaknya tidak pernah diajak menghadiri perbincangan untuk menyelesaikan kes itu walaupun beliau salah satu pihak dalam kes yang berada di peringkat Mahkamah Persekutuan sebelum dibatalkan.

“Mengapa tanah-tanah tersebut yang telah dirampas oleh kerajaan Selangor pada 2009 semasa saya menteri besar Selangor dipulangkan semula, dan kemudian dijual kepada pihak lain?” kata Khalid.

“Sekarang terdapat persepsi bahawa penyelesaian tersebut dibuat dalam keadaan mencurigakan; sekaligus mencemar nama baik dan reputasi kerajaan negeri.”

Dalam edaran kepada media semalam, Rahman menjelaskan tanah-tanah tersebut dirampas kerajaan negeri kerana pelanggaran syarikat dan terma perjanjian.

Dua syarikat terlibat menyaman kerajaan negeri dan menteri besar untuk mendapatkan balik tanah-tanah tersebut namun keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2013 dan Mahkamah Rayuan pada Februari 2014 tidak menyebelahi mereka.

Menurut Rahman, 2 syarikat terbabit kemudian merayu ke Mahkamah Persekutuan. Semasa Azmin menjadi menteri besar dan sebelum mahkamah mendengar kes mereka, 2 syarikat itu dan beberapa syarikat berkaitan membuat perjanjian dengan sebuah syarikat awam pada September 2015, untuk menjual 2.1 ekar tanah pada harga RM1.18 bilion.

Menurut Rahman, selang beberapa bulan selepas itu, Azmin pada 17 Mei 2016 memfailkan 1 perjanjian penyelesaian kepada Mahkamah Persekutuan bahawa kerajaan Selangor dan 2 syarikat itu bersetuju untuk membatalkan kes itu.

“Azmin seterusnya membuat keputusan untuk menyerahkan semula tanah-tanah tersebut kepada 2 syarikat itu,” kata Rahman.

Rahman mempersoalkan adakah penyerahan semula tanah itu ada kaitan dengan pembayaran pampasan tunai RM180,000 dan sebuah rumah bernilai RM250,000 kepada 980 peneroka baru-baru ini.

Beliau berkata jumlah pampasan yang diumumkan bernilai RM421.4 juta. “Di mana baki RM758.6 juta?” kata Rahman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here