Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kehairanannya mengenai surat aduan yang dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang kononnya oleh lebih 400 anggota BERSATU yang mempertikaikan perhimpunan agung tahunan parti itu. Cubaan menggagalkan pendaftaran HARAPAN ini satu usaha belakang tabir pihak-pihak tertentu.

Justeru, beliau mendakwa terdapat pihak yang tidak dikenal-pasti cuba memberi alasan kepada ROS supaya tidak mengiktiraf BERSATU, dengan harapan agar usaha untuk mendaftarkan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan gagal.

“Ahli-ahli BERSATU ini berasa tak puas hati, dengan mesyuarat agong ini kononnya tak sah, dan mereka buat laporan kpd ROS, sudah tentu kalau ROS berpendapat bahawa mesyarat ini tak sah, maka pemohonan untuk daftar HARAPAN akan terganggu, tidak akan dilulus.

“Kita hairan kenapa terdapat sehingga 400 ahli-ahli BERSATU ini buat laporan yang sama dengan perkataan yang sama, kepada ROS.

“Jadi nampak ada satu usaha, entah daripada pihak mana, saya tak tahu, untuk memberi alasan kepada ROS supaya tidak luluskan pemohonan daftar HARAPAN,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilaporkan berkata, ROS menerima sebanyak 47 aduan yang mempunyai asas untuk siasatan mengenai BERSATU yang melanggar ketetapan perlembagaan parti itu sendiri.

Beliau yang juga adalah menteri dalam negeri dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai berkata, sehingga kini, ROS menerima sebanyak 249 aduan yang dibuat oleh ahli-ahli BERSATU dan jabatan berkenaan bertanggungjawab untuk menyiasat setiap aduan tersebut.

Mengulas lanjut, calon perdana menteri HARAPAN itu berkata, masalah sama juga dihadapi oleh DAP berhubung pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang masih belum dijawap oleh ROS.

“Sehingga sekarang ini, tak ada jawapan kepada permohonan, peringatan pun tak ada, seolah-olah kita belum hantar (dokumen permohonan pendaftaran HARAPAN), tetapi kita telah hantar.”

“Cuma kita jumpa dengan ROS, dia sebut ada masalah dengan DAP, BERSATU. DAP dah selesai tapi DAP tak dapat suratpun, BERSATU (juga) tak dapat apa-apa surat pun.
“Saya khuatir dengan ini, kelulusan tidak akan diberi kepada HARAPAN, ini satu cara untuk BN menang dengan mengganggu pendaftaran HARAPAN,” katanya.
Mahathir berkata, beliau tidak menolak kemungkinan mengheret ROS ke mahkamah.
Dalam pada itu, Utusan turut memetik Ahmad Zahid sebagai berkata, pihak ROS telah pun menghantar surat kepada DAP semalam bagi memaklumkan pemilihan semula CEC parti itu pada 12 November tahun lalu mematuhi semua syarat yang ditetapkan.
Pada sidang media itu, Dr Mahathir turut mengakui terdapat masalah dalam pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di Selangor dalam kalangan parti pembangkang itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Menurutnya, pengagihan kerusi DUN adalah lebih rumit dan Pakatan Harapan di negeri-negeri diberi tempoh masa sehingga esok untuk menyelesaikan isu itu.
“Bagi (kerusi) Parlimen kami sudah selesaikannya. Kerusi DUN yang lebih rumit sikit,” katanya.
Berhubung rundingan kerusi dengan formula 60:40 antara Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan untuk kerusi DUN Sabah, Dr Mahathir berkata beliau tidak mengetahui perkara tersebut namun telah mengarahkan Pakatan Harapan bekerjasama dengan Warisan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here