Seorang bekas pemimpin PAS mengingatkan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membuang sifat angkuh jika ingin terus dihormati.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, yang keluar PAS menyertai Parti Amanah Negara (PAN) berkata, Abdul Hadi perlu berhenti memperlekehkan pihak lain, terutama bekas ahli PAS.

“Mungkin pihak luar yang tidak pernah berada dalam barisan kepemimpinan bersama Abdul Hadi tidak tahu perangainya. Sikap Abdul Hadi dari dulu memang begitu (memperlekehkan orang).

“Jika sebelum ini, bekas pemimpin PAS yang kini berada dalam PAN banyak membantu mengawal sikap Abdul Hadi yang angkuh dan ekstrem.

“Tanpa kami, sikapnya yang sebenar semakin terserlah. Dia suka memperlekehkan parti lain, angkuh dan sombong, itulah sifat sebenar Abdul Hadi,” katanya kepada BH Online, hari ini.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi PAN berkata, bukan sesuatu yang menghairankan jika Abdul Hadi sering melabelkan pihak lain dengan pelbagai gelaran kerana berasakan hanya dirinya hebat serta mengikut ajaran Islam, manakala orang lain sebaliknya.

Ahad lalu, Abdul Hadi ketika merasmikan jentera pilihan raya PAS Selangor berkata, parti itu berhasrat membentuk kerajaan sendiri atau menyertai pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau menyifatkan Selangor antara negeri utama untuk PAS menang besar pada PRU-14, sekali gus menafikan kemenangan PAN yang dianggap Abdul Hadi sebagai parti ‘nyamuk’.-BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here