Seramai 95,470 kes jangkitan HIV direkodkan di negara ini sejak 1986 hingga September tahun ini dengan bilangan kes baharu menunjukkan penurunan sebanyak 42 peratus iaitu daripada 5,830 kes pada tahun 2006 kepada 3,397 kes pada tahun lalu.

Pada tahun ini, sehingga September sejumlah 3,014 kes baharu dilaporkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr  S Subramaniam berkata, epidemik HIV/Aids menunjukkan kemajuan yang amat baik sejak ia mula dikesan di negara ini 31 tahun lepas dengan kes jangkitan baharu dan kes kematian akibat Aids menunjukkan trend penurunan.

Dalam perutusan sempena Hari Aids Sedunia 2017 hari ini, menurutnya kes kematian akibat Aids mencatatkan penurunan sebanyak 31 peratus iaitu 911 kes pada 2016 berbanding 1,321 kes pada tahun 2006.

“Saya percaya dengan kepimpinan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak dan peranan masyarakat, Malaysia mampu membendung jangkitan HIV/Aids dan seterusnya mengakhiri epidemik tersebut menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan di sini.

Oleh itu, Dr Subramaniam menyarankan kepada masyarakat terutama golongan berisiko supaya menjalani ujian saringan HIV dan mengetahui tahap jangkitan bagi membolehkan rawatan awal dapat diberikan.

Tahun ini, Malaysia menyambut Hari Aids Sedunia dengan tema “Kesihatan Hak Anda. Manfaatkan Rawatan, Akhiri Aids”.

Hari Aids Sedunia disambut pada setiap 1 Disember dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jangkitan HIV/Aids dan langkah pencegahan serta rawatan ke arah mengakhiri penyakit itu menjelang 2030. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here