Polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga di sebuah kondominium mewah di sini, dipercayai berkaitan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata selain itu, sebanyak 284 kotak yang mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah turut dirampas dari tiga buah unit kediaman di kondominium tersebut di Jalan Raja Chulan.

Beliau berkata nilai rampasan tidak dapat ditentukan lagi kerana jumlah barang yang dirampas adalah banyak.

“Polis akan membuat pemeriksaan secara terperinci pada esok (hari in) bagi menentukan jumlah nilai sebenar rampasan,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi pemeriksaan di kondominium berkenaan pada jam 2 pagi tadi.

Beliau berkata JSJK mula membuat pemeriksaan serentak sejak malam kelmarin di 6 buah permis bagi membantu siasatan kes 1MDB iaitu Pejabat Perdana Menteri dan kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya, kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini serta 3 unit kediaman di kondominium tersebut.

Beliau berkata antara beg tangan mewah yang dirampas adalah berjenama Hermes Birkin dan Louis Vuitton.

Beliau berkata tiada penghuni di unit kediaman kondominium berkenaan ketika polis melakukan pemeriksaan serta melakukan rampasan terhadap barangan berharga di situ.

“Untuk kes geledah kediaman mewah itu, polis telah memperoleh perintah mahkamah dan tidak menghadapi halangan daripada mana-mana individu ketika melakukan pemeriksaan,” katanya.

Polis terpaksa menggunakan 5 trak polis untuk membawa bagasi dan kotak beg tangan mulai jam 12. 15 tengah malam dan selesai dua jam setengah kemudian.

Ditanya mengenai rampasan di lokasi lain, Amar berkata barangan yang dirampas di Pejabat Perdana Menteri adalah dokumen dipercayai berkaitan 1MDB serta barangan berharga antara lain daripada kediaman peribadi Najib di sini.

Beliau berkata proses penggeledahan ini akan berterusan sehingga selesai.

Ditanya mengenai pemilikan 3 unit kondominium mewah itu, ia dimiliki seorang individu bergelar “Tan Sri”.

Selain itu, berhubung laporan media yang mendakwa bagasi yang dirampas mengandungi ketulan jongkong emas, Amar enggan mengulas berhubung perkara itu.

Ditanya sama ada kesemua barangan rampasan berkenaan sudah cukup menjadi bahan bukti untuk mendakwa Najib, beliau berkata keputusan itu akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara,Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Saya hanya menerima arahan menjalankan siasatan untuk membuat penggeledahan berkenaan dengan kes berkaitan 1MDB,” katanya.

Amar juga menjelaskan bahawa peti besi yang ditemukan di kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta di sini, masih lagi dalam proses penggerudian untuk membukanya.

“Kami menjalankan siasatan kes ini dengan penuh professional… saya juga telah mengarahkan kesemua pegawai serta anggota saya menjalankan siasatan kes ini dengan terperinci dan teliti,” katanya.

Beliau memberi jaminan akan mendedahkan kesemua barangan yang dirampas pada sidang media dalam masa terdekat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here