BAGI rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, tarikh 31 Ogos pada setiap tahun merupakan tarikh yang amat signifikan dan istimewa kerana pada tarikh itulah Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan negara disambut.

Persoalannya, sudah merdekakah rakyat Malaysia sepenuhnya atau secara fizikal sahaja?

Sejarah membuktikan bahawa Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957 dan keluar daripada belenggu kolonialisme.

Apa lagi yang tidak cukup dengan kemerdekaan selama ini?

Merdeka bukan sekadar merdeka atau bebas terus dari terus dijajah orang asing dan terbentuknya sistem pemerintahan dalam kalangan rakyat sendiri.

Erti kemerdekaan menjangkau pelbagai aspek dalam kehidupan seperti cara pemikiran, cara berfesyen, budaya, corak pendidikan, sistem ekonomi, cara berkempen dan sebagainya.

Merdekakah kita sebenarnya dan masyarakat pada hari ini apabila tidak mengikut telunjuk pihak luar yang cuba menodai keharmonian dan kenikmatan kemerdekaan yang kita miliki selama 60 tahun ini? Jawapannya ada pada kita.

Kemakmuran dan kestabilan yang dinikmati selama 60 tahun tidak datang bergolek tanpa perancangan oleh kerajaan yang memerintah.

Paling membimbangkan adalah ancaman tersirat yang wujud tanpa disedari kehadirannya.

Fenomena Arab Spring terutama sekali yang melanda Tunisia, Mesir, Libya dan Syria bukan berlaku secara spontan tetapi ada perancangan sebalik tabir yang dilakukan secara teliti.

Paling membimbangkan sekali adalah ancaman dalaman yang sedang dihadapi kerana ia begitu sukar dikesan dan disedari penularannya sehinggalah apabila sudah terlanjur.

Akibat perbezaan ideologi politik, perkara yang mampu menggugat keselamatan negara dipandang remeh.

Isu sensitif seperti agama sengaja diperguna hanya untuk meraih manfaat politik.

Oleh sebab itu, jati diri rakyat pada ketika ini dalam mempertahan kedaulatan dan maruah negara dari terus dicabar adalah begitu rapuh sekali kerana mudah terpengaruh dengan faktor ideologi politik yang berbeza.

Jika rakyat Malaysia masih tidak mahu mengenepikan ideologi politik terutama sekali dalam bulan merdeka ini maka senario seperti ini tidak mungkin dapat membantu benteng pertahanan negara.

Pada bulan Kemerdekaan ini, semua rakyat Malaysia patut bergembira dan menyisihkan ideologi politik yang bertentangan buat seketika.

Apa yang sepatutnya dilakukan adalah meraikan bulan kemerdekaan dan mengenang pengorbanan penduduk Tanah Melayu yang bersabung nyawa mendapatkan hak di negara sendiri.

Bagaimanakah masyarakat pelbagai kaum di negara ini boleh bersatu?

Kita bersatu bukan disebabkan pihak kolonial yang memberi kebebasan kepada Tanah Melayu tetapi orang Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum bersatu membebaskan diri daripada terus menjadi hamba agenda politik kolonial yang cuba merangkul hak rakyat.

Tanpa kesepaduan nasional sebegini mana mungkin rakyat Tanah Melayu dapat berdikari atas usaha sendiri.

Walaupun tolak ansur yang diamalkan sehingga hari ini sering dipertikaikan relevannya dalam konteks perjuangan hak dan kedudukan rakyat, keamanan dan kesejahteraan berjaya dikekalkan.

Kekacauan dan gangguan yang berlaku menjadi penggerak kepada negara dan kerajaan untuk mencapai satu tahap keadilan sosial dan sejagat.

Jika tidak, demokrasi hanyalah retorik. Walaupun pernah dijajah, jangan dibiar negara dan masyarakat terus dijajah.

Minda dijajah dengan arus pemodenan dan teknologi luar merupakan sebuah persoalan lain, tetapi jangan dibenarkan politik sedia ada dijajah oleh orang sendiri, situasi sebegini sangat bahaya.

Sikap jajah-menjajah ini boleh memberikan kesan terhadap kelangsungan sesebuah sistem politik.

Sikap sebegini perlu dihapuskan malah dalam Islam, amalan politik songsang dan tidak sihat seperti jajah-menjajah antara sesama ahli amat ditegah.

Jika seseorang itu terbukti mempunyai kecacatan dan tidak layak untuk bergelar pemimpin, maka rakyat boleh menukarnya dan menggantikannya.

Tetapi, bagaimanakah caranya?

Caranya yang hendak digunakan perlu mengikut lunas-lunas agama dan bukan membunuh karektor mereka.

Jika sudah merdeka, buktikan dan laksanakanlah dengan cara yang afdal.

Persaingan politik tetap ada di mana-mana negara sekalipun, bersyukurlah kerana Malaysia masih mengekalkan ciri etnik kepartian sejak bertahun lamanya.

Negara luar tidak boleh mencontohi Malaysia tetapi perubahan boleh berlaku dengan kehadiran parti-parti baharu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sedarilah, walau apa pun berlaku, tanggal 31 Ogos 1957 tidak akan terpadam dari kalendar dunia dan ini amat membanggakan rakyat Malaysia.

Tetapi, jangan dibiar segelintir masyarakat yang terlalu menghambakan diri kepada permainan politik kotor memadamkan memori sejarah sedia ada kerana terlalu ghairah dengan pembaharuan yang cuba dibawa.

Apakah tanggungjawab rakyat pada hari ini khususnya generasi muda?

Adalah menjadi tanggungjawab rakyat terutama generasi baharu pada hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan negara.

Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan.

Kemerdekaan adalah sebuah perjalanan yang panjang, berliku dan tidak berpenghujung. Akan tetapi, sesuatu bangsa akan berjaya jika ia gigih menempuh ranjau yang dihadapi.

Kita perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Kita telah sama-sama melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa.

Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial dalam kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar kita saling menikmati erti kemerdekaan.

Biarlah kemerdekaan kali ke-60 ini dihayati, disambut dan diraikan dengan penuh semangat penyatuan dalam kalangan rakyat negara ini.

Bukan sahaja menjadi usaha pihak kerajaan untuk mengadakan acara bagi menyambut Hari Kebangsaan, rakyat juga perlu memainkan peranan bagi bersama-sama memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan negara.

Jika ini dapat dilaksanakan, kemerdekaan negara kali-60 pastinya cukup bermakna sekali gus membawa maksud rakyat sudah merdeka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here