TINGGAL kira-kira tiga minggu sahaja lagi kita bakal menyambut Hari Kebangsaan yang ke-60, menandakan kemerdekaan dan kebebasan yang kita kecapi daripada cengkaman kuasa penjajah.

Tempoh 60 tahun ini bukanlah satu tempoh yang singkat. 60 tahun merupakan satu tempoh yang seharusnya mematangkan kita untuk berfikir dan bertindak dengan satu hati sebagai rakyat Malaysia yang dibentuk secara majoritinya oleh masyarakat Melayu, Cina dan India.

Walau bagaimanapun, setiap kali isu mengenai perpaduan dan integrasi kaum dibicarakan, perbahasan mengenainya tidak dapat lari dari menyentuh tentang keperluan sistem pendidikan kita dinilai semula. Lebih spesifik, soalan mengenai kewajaran sekolah vernakular dikekalkan terus dibahaskan dari tahun ke tahun.

Bersatukah Kita?

Kita sering mendabik dada mendakwa Malaysia adalah sebuah negara contoh yang walaupun berbilang kaum, tetapi rakyatnya tetap bersatu padu tanpa mengira warna kulit. Hakikatnya, kita melihat rata-rata rakyat, anak muda khususnya, lebih cenderung untuk bergaul dan bersosial sesama rakan-rakan sebangsa mereka. Situasi ini kita nampak jelas berlaku di banyak universiti awam dan swasta, malah agensi-agensi awam juga tidak terkecuali.

Selain hubungan yang dilihat renggang, kita juga sedia maklum terdapat sebahagian rakyat Malaysia yang masih gagal bertutur dalam Bahasa Kebangsaan dengan baik. Mengambil kira tempoh kemerdekaan yang telah kita kecapi, situasi ini tampak sangat menggusarkan dan tidak sepatutnya berlaku ketika kita sedang berusaha keras membentuk jati diri dan identiti sebagai rakyat Malaysia.

Sekolah Satu Aliran

Secara peribadi, penulis melihat betapa kurangnya komunikasi rentas kaum ini sangat berkait rapat dengan proses yang telah dibentuk sejak di bangku sekolah. Kewujudan sekolah-sekolah vernakular, walaupun bukanlah bertujuan menyemai benih-benih perkauman dan perpecahan, dilihat sebagai satu tembok yang menghalang integrasi kaum yang lebih utuh dan menyeluruh. Profesor Khoo Kay Kim pada 2009 pernah mengutarakan cadangan menghapuskan sekolah vernakular sebagai satu langkah penting dalam merealisasikan visi 1Malaysia.

Malah, ketika membincangkan mengenai pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dianjurkan oleh kakitangan Petronas pada 17 Julai yang lalu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut mengakui menghapuskan sekolah vernakular dan melihat semua orang pergi ke sekolah yang sama adalah tindakan yang ideal untuk memupuk perpaduan kaum, tetapi tindakan seumpama ini adalah sukar memandangkan ianya menuntut kepada kemahuan dan keberanian politik yang tinggi yang sehingga kini tidak diterjemahkan dengan baik dan tuntas oleh pimpinan Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang.

Sekolah Kebangsaan Dan Tanggapan Negatif

Namun di sana tentu ada sebab mengapa sebahagian besar ibu bapa lebih cenderung untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular. Kita tidak berbicara mengenai pelajar Cina dan India sahaja kerana kita juga sedia maklum bahawa jumlah pelajar Melayu yang dihantar ke sekolah-sekolah ini juga agak signifikan. Di sana juga ada keperluan untuk kerajaan memahami mengapa masih terdapat persepsi-persepsi negatif yang wujud terhadap sekolah kebangsaan.

Berdasarkan pemerhatian, penulis melihat ada beberapa faktor yang menyumbang kepada kurangnya pendaftaran pelajar-pelajar Cina dan India di sekolah-sekolah kebangsaan. Antara yang mungkin dipersetujui ramai termasuklah dari segi kualiti, prinsip merit dan faktor kesamaan yang masih kurang. Jika piawaian akademik ditingkatkan, persekitaran yang kondusif pula tersedia selain kualiti guru sedia ada dapat dijamin, penulis yakin pendaftaran pelajar-pelajar bukan Melayu di sekolah-sekolah kebangsaan akan mula bertambah.

Agenda Perpaduan dan Persediaan Kita

Jika kerajaan benar-benar mahu mewujudkan pendidikan satu aliran di mana semua pelajar akan pergi ke sekolah yang sama sebagai satu bentuk penyatuan dalam merealisasikan agenda nasional, maka orang Melayu perlu bersedia untuk berkorban dan melakukan anjakan paradigma dalam beberapa perkara. Untuk berlaku adil dalam menghapuskan sekolah vernakular, orang Melayu juga perlu bersedia untuk menghapuskan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang didominasi pelajar Melayu. Jumlah SBP di seluruh negara pada ketika ini mencecah hampir 70 buah sekolah.

Dalam proses tersebut, sudah tentu beberapa tuntutan dan perubahan akan terlihat seiring dengan sistem pendidikan satu aliran yang dicadangkan. Kuota bagi pembiayaan pengajian dan kemasukan ke institusi pengajian awam khususnya tentu akan dilihat dan diperhalusi semula. Perkara-perkara ini sememangnya ideal tetapi telah kita maklumi sebagai sangat sensitif.

Justeru, menjelang 60 tahun kemerdekaan negara dan demi perpaduan kaum yang lama kita hasratkan, wajarkah sekolah vernakular kita kekalkan?

Dan soalan yang dilihat sama penting, bersediakah orang Melayu untuk bersaing dan berubah?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here