Ibu Thaqif

Ibu kepada pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi menolak laporan bedah siasat yang merumuskan anaknya meninggal dunia akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus.

Ibu Thaqif, Felda Wani Ahmad, mempersoalkan pihak hospital keperluan memotong kaki anaknya jika betul Thaqif dijangkiti kencing tikus yang boleh dikesan sejak awal.

“Saya nak tanya kenapa nak potong kaki anak saya kalau kencing tikus. Kencing tikus mesti kesan awal. Paling lewat 1 atau 2 minggu, macam kes di Kelantan baru-baru ini.

“Saya ni cikgu, tidak payah manipulasi yang bukan-bukan. Saya memang terkilan. Daripada arwah (Thaqif) masuk hospital, doktor kata tak tahu kuman apa. Ini tiba-tiba beritahu kencing tikus, tak masuk akal. Saya tidak boleh terima,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.

Thaqif dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada 19 April lalu selepas pembantu warden asrama Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kampung Lukut, Kota Tinggi didakwa memukulnya dengan paip getah.

Kedua-dua kaki pelajar berusia 11 tahun itu dipotong selepas mengalami darah beku, sementara tangan kirinya dijadual dipotong sebelum kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir.

Kubur pelajar itu digali semula pada 18 Mei lalu bagi membolehkan sampel kaki Thaqif diambil untuk tujuan siasatan. Laporan bedah siasat yang diumumkan hari ini merumuskan kencing tikus dan bukannya trauma akibat pukulan sebagai punca Thaqif mendapat jangkitan pada kulit dan darah sebelum meninggal dunia pada 26 April lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu diperolehi berdasarkan bedah siasat pada hari sama pelajar itu meninggal dunia April lalu menggunakan sampel tisu dan darah yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan dan Jabatan Kimia. – Malaysiakini –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here