Monday, June 18, 2018
Home News Entertainment Vidya Balan Bangga Berumur 36 tahun

Vidya Balan Bangga Berumur 36 tahun

0
205

Vidya Balan yang tidak ragu dan malu berkongsi tentang umurnya malah, katanya, dia berbangga berusia 36 tahun berbeza dengan kebanyakan aktres Bollywood berasa tidak selesa untuk berkongsi dengan peminat mengenai umur mereka.

Vidya yang menjadi sebahagian daripada warga dunia perfileman Hindi sejak lebih sedekad yang lalu berkata, antara alasan atau sebab kenapa kebanyakan aktres wanita mahupun wanita biasa tidak mahu mendedahkan usia sebenar adalah kerana wujudnya tekanan untuk wanita kelihatan sentiasa muda dalam masyarakat yang obses muda.

“Saya tak fikir ia hanya melibatkan golongan aktres. Saya rasa kita berada dalam masyarakat yang obses muda. Justeru, wujud tekanan supaya wanita sentiasa muda. Namun, ingin saya tegaskan bahawa, saya bangga berusia 36 tahun,” katanya kepada laman berita IANS.

Pemenang anugerah aktres kebangsaan itu juga berkata, wanita berasa bimbang kerana adanya tanggapan wujud kelebihan atau keistimewaan yang kerap dikaitkan dengan umur.

“Sebenarnya, umur sekadar angka dan kita tidak sepatutnya memberikan lebih kepentingan daripada itu,” tambah Vidya.

Aktres yang pertama kali muncul pada 2005 menerusi filem Parineeta berjaya membuktikan keupayaannya yang serba boleh dalam menghayati watak yang diberikan kepadanya.

Vidya telah menjayakan beberapa watak utama termasuk membuktikan kebolehannya memanipulasi watak Krishna dalam Ishqiya, seorang yang keras kepala sebagai Sabrina dalam No One Killed Jessica serta memainkan peranan sebagai Vidya Bagchi iaitu seorang wanita pendendam dalam Kahaani, selain memegang watak seorang ibu yang tidak berkahwin dalam Paa.

Dalam pada itu, katanya, dia ‘tidak faham’ tentang angka filem pecah panggung.

“Saya tidak faham tentang angka itu. Setakat yang saya tahu, semua filem lakonan saya okey dan saya gembira. Jika filem lakonan saya tidak okey, ia akan membuatkan saya berasa sedih,” tambah Vidya.

Sumber: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here