30 minit

Krisis kemanusiaan yang melanda etnik Rohinya di wilayah Rakhine semakin buruk dan mencemaskan seluruh dunia. Pelbagai badan pemerhati hak asasi manusia menegaskan berlaku usaha penghapusan etnik secara konsisten dan sistematik terhadap Rohingya dan ini jelas didalangi oleh pihak Tentera Myanmar dan sebilangan penduduk tempatan. Banyak organisasi antarabangsa mula mempertikaikan kewibawaan Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dahulunya disanjung sebagai pejuang hak asasi manusia dan demokrasi sehingga menerima Hadiah Nobel.

Namun, Suu Kyi dilihat membisu dan menutup mulut apabila ditanya tentang Rohingya. Malah dalam beberapa kenyataannya sebelum ini, beliau dilihat cuba mempertahan tindakan pihak berkuasa mendera dan menyeksa etnik Rohingya malah langsung tidak menyebut mengenai usaha yang boleh diambil untuk mengatasi isu itu. Ramai penganalisis politik dan hak asasi manusia berpandangan hanya Suu Kyi mempunyai keupayaan untuk menghentikan apa yang terjadi, namun malangnya beliau tidak mahu mengambil sebarang tindakan, mungkin bimbang dengan reaksi masyarakat tempatan yang sememangnya secara majoriti tidak mengiktiraf kewujudan Rohingya di negara berkenaan.

Semalam setelah sekian lama membisukan suara, Suu Kyi muncul di khalayak ramai dan kaca televisyen seluruh Myanmar menyampaikan ucapan selama kira-kira 30 minit mengenai isu etnik Rohingya. Ini mungkin dilihat sebagai satu petanda positif apabila menyaksikan Suu Kyi mula membuka mulut, namun apa yang mengecewakan ialah ucapannya hanya satu retorik kosong yang tidak membawa apa-apa erti. Suu Kyi menggunakan pentas berkenaan sebagai mempertahan dirinya yang kini dikecam masyarakat antarabangsa akibat menyepi berkenaan hal Rohingya.

Dalam ucapan berkenaan, Suu Kyi menyeru masyarakat antarabangsa memberikan ruang kepada Myanmar untuk menyelesaikan isu berkenaan. Beliau turut mengikat janji untuk melaksanakan rancangan penempatan semula pelarian Rohingya, namun apa yang diucapkannya itu hanya sekadar kata-kata manis tanpa sebarang bentuk perancangan dikemukakan. Tiada sebarang tawaran penyelesaian dikemukakan Suu Kyi melalui ucapannya yang menyebabkan ramai beranggapan ucapan berkenaan sekadar membeli masa dan mahu melihatkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa beliau sedang berusaha dan mengambil tindakan.

Lebih menyedihkan apabila beliau mengumumkan proses penempatan semula pelarian Rohingya ini akan melalui proses pengesahan bagi menentukan sama ada etnik Rohingya berkenaan berasal dari Myanmar atau tidak. Ini jelas satu kenyataan bodoh yang cuba melihatkan Suu Kyi sekadar membuat helah. Dalam erti kata lain, beliau sebenarnya cuba menyatakan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Rohingya bukanlah sebahagian daripada Myanmar.

Sepanjang ucapan beliau, Suu Kyi juga tidak menggunakan istilah etnik Rohingya dan ini jelas menunjukkan tindakan secara tidak langsung Suu Kyi yang tidak mahu mengiktiraf Rohingya sebagai etnik di negara berkenaan. Ini membuktikan bahawa Suu Kyi menghina kewujudan Rohingya.

Melalui tempoh 30 minit itu kita dihidangkan dengan komitmen palsu tanpa sebarang perancangan konkrit untuk menyelesaikan masalah dan konflik di Rakhine. Suu Kyi memilih jalan selamat dan popular yang mampu melindunginya berbanding bersedia bercakap benar demi kemanusiaan. Maka kita sudah boleh mengesahkan bahawa konflik ini tidak lagi boleh bergantung kepada Suu Kyi sebagai penyelesai kepada masalah, tetapi campur tangan antarabangsa yang lebih kuat diperlukan bagi memastikan Myanmar memahami ini merupakan isu sejagat dan perlu diselesaikan secepat mungkin sebelum lebih banyak nyawa melayang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here