Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sedang meneliti 249 aduan dikemukakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di seluruh negara terutama berkaitan dakwaan pelanggaran perlembagaan parti itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata setakat ini, ROS mendapati 47 daripada keseluruhan aduan berkenaan mempunyai percanggahan dengan perlembagaan dan peraturan parti itu.

“ROS mempunyai tanggungjawab untuk menyiasat semua 249 aduan diterima itu dan ia dilakukan secara profesional serta tidak memihak kepada mana-mana parti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Kesesakan Di Tambak Johor dan Linkedua di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa ROS sengaja melengah-lengahkan dan melambatkan siasatan mengenai Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PPBM.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sebagai seorang tokoh yang pernah mengetuai sebuah kerajaan, beliau harus tahu di zamannya juga peraturan sama digunakan iaitu Akta Pertubuhan 1966.

“Mengikut akta berkenaan, ROS bertanggungjawab menjaga kepentingan rakyat dan ahli mana-mana pertubuhan serta badan politik di negara ini.

“Justeru, ROS tidak harus dipersalahkan dan jika pemimpin mana-mana organisasi tidak mengikut perlembagaan mereka sendiri tentukan, jadi amatlah jahil jika menuding jari kepada pihak lain sedangkan kejahilan itu dilakukan mereka sendiri,” katanya.

AGM kali pertama PPBM yang diadakan pada 30 Disember lalu mendapat bantahan ramai pemimpin parti berkenaan selepas ia didakwa melanggar peraturan dan perlembagaannya.

Susulan itu, ROS sudah memanggil Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Ketua Pemudanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi direkodkan keterangan.

Ahmad Zahid berkata, ROS tidak jahil dan tidak lembap sebagaimana tuduhan dilemparkan pemimpin berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, ROS sudah menghantar surat kepada DAP, kelmarin bagi memaklumkan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang berlangsung pada 12 November tahun lalu mematuhi semua syarat ditetapkan.

“Ia sekali gus mengesahkan perjalanan DAP sebagai parti politik memandangkan mereka sudah mengikuti peraturan ditetapkan perlembagaan parti mereka sendiri,” katanya.-BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here