Tujuh puluh satu penduduk daripada 21 buah keluarga di Kampung Orang Asli Sg Kelit, Raub terputus hubungan sejak pukul 3.00 pagi tadi setelah berlaku kejadian tanah runtuh di jalan masuk menuju ke kampung mereka.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Zainal Yusof berkata sehinga kini operasi pembersihan jalan ke Ulu Sungai Raub itu masih giat dilakukan oleh pihak yang berkenaan termasuk Jabatan Kerja Raya.

“Kejadian tanah runtuh itu dilaporkan berlaku dalam di kawasan-kawasan tertentu sepanjang 4 kilometer ke kampung itu. Bagaimanapun ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, katanya jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 3 buah pusat pemindahan banjir di daerah Raub menurun kepada 38 orang daripada 10 buah keluarga setakat pukul 5.30 ini berbanding 47 orang pagi tadi.

Katanya mangsa paling ramai di tempatkan di pusat pemindahan Balai Raya Kuala Semantan (26 mangsa) diikuti, Surau RRM Cheroh (10 orang) dan Balai Raya Kampung Ulu Sungai (dua orang ).

“Jalan Sangkela ke Chenua berhampiran Jambatan Chenua juga ditutup kepada semua kenderaan berikutan kawasan berkenaan dinaiki air sedalam 0.4 meter dan paras air di kawasan itu juga menunjukkan trend meningkat,”katanya.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang Zulkhairi Zainol Abidin berkata pihaknya sudah selesai mengagihkan bekalan makanan untuk disimpan di 116 pangkalan hadapan di negeri ini hujung bulan lepas.

Katanya penghantaran bekalan makanan pertama dilakukan pada 17 November lalu ke pangkalan hadapan di Pulau Tioman dengan sejumlah 22 tan metrik bekalan makanan dihantar ke sana membabitkan bekalan barangan keperluan asas seperti makanan, selimut, tikar, kit bencana, dan khemah mudah alih.

Manakala penghantaran terakhir bekalan makanan dan keperluan asas dilakukan pada 30 November ke 5 pangkalan hadapan di Hulu Tembeling, dekat Jerantut melibatkan penghantaran barangan makanan dan keperluan seberat 11.6 tan metrik.

Menurutnya dari segi persiapan JKM Pahang bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir lebih buruk dan pemantauan keadaan cuaca akan terus dilakukan dari semasa ke semasa dengan kerjasama agensi terbabit.

“Sebanyak 686 pusat pemindahan sementara juga telah diarahkan dalam keadaan bersiap sedia memandangkan keadaan cuaca tidak menentu sejak awal minggu lalu,” katanya.-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here