1MDB

Pembangkang sering mendakwa isu 1MDB merupakan isu paling penting untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN). Pelbagai sudut berkaitan isu ini dimanipulasi dan diteliti oleh pembangkang bagi memastikan setiap perkara boleh dihidupkan untuk dipercayai oleh rakyat secara umumnya. Setiap hari isu ini pasti tidak akan terlepas dari pandangan hampir semua pemimpin pembangkang. Namun, apabila diselidiki dengan baik, kebanyakan fakta berkaitan isu ini merupakan fakta berulang yang sebenarnya boleh menimbulkan tanda tanya.

Pemimpin pembangkang seperti Tony Pua dan Rafizi Ramli boleh disifatkan sebagai ‘pakar’ dan ‘juara’ ulung dalam isu 1MDB dan mereka cukup gemar bermain dengan fakta dan angka yang dimanipulasi demi memastikan isu ini terus hidup dan mekar menjelang pilihan raya umum akan datang. Pembangkang sebenarnya berdepan kesukaran untuk mencungkil isu-isu lain yang lebih segar dan disebabkan itu, 1MDB dilihatkan seperti barah yang sedang meracuni Kerajaan dan rakyat harus memastikan barah ini dihentikan bagi menyelamatkan Malaysia.

Siasatan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) terhadap isu ini menambahkan lagi peluru pembangkang untuk menyerang Kerajaan khasnya YAB Perdana Menteri. Malah pelbagai hal turut dikaitkan dengan isteri YAB Perdana Menteri walaupun tiada sebarang bukti kukuh boleh mengaitkan tuduhan-tuduhan berkenaan, malah pihak DOJ juga tidak menyatakan secara jelas sama ada pemimpin Kerajaan benar-benar terlibat dengan salah guna kuasa atau tidak. Segala-galanya masih samar-samar dan pembangkang dengan pantas membuat kesimpulan sendiri tanpa memberikan pertimbangan bukti dengan wajar.

Di sebalik keyakinan berterusan berkenaan isu 1MDB yang dilihat mampu menjatuhkan Kerajaan dan dikatakan mempunyai daya pengaruh yang kuat untuk mengalih sokongan pengundi ke arah pembangkang, satu tinjauan umum yang dibuat oleh firma penyelidikan media sosial terkenal, Politweet pasti menggusarkan pihak pembangkang.

Politweet dalam tinjauannya berkaitan trend dan isu semasa di media sosial mendapati terdapat penurunan minat yang ketara di Twitter terhadap isu 1MDB di Malaysia apabila hanya 19,459 pengguna memperkata tentang isu berkenaan berbanding dengan 85,118 pengguna pada tahun 2015. Ini jelas satu penurunan yang drastik dan mampu menggocang peranan pembangkang dalam isu ini. Jelas sekali rakyat dilihat semakin muak dengan cubaan pembangkang menanipulasi isu ini.

Lebih membimbangkan pembangkang, tinjauan Politweet juga mendapati penurunan ketara ini berlaku di negeri-negeri di luar Kuala Lumpur dan Selangor dan jelas menunjukkan negeri-negeri yang berada di bawah BN tidak tertarik dengan isu ini lagi dan sukar untuk mereka mengaitkan Kerajaan sedia ada dengan setiap tuduhan salah laku yang diperkatakan.

Seramai 15,200 pengguna memperkata tentang tindakan DOJ yang pertama pada Julai 2015, namun semasa pengumuman kedua DOJ baru-baru ini hanya 7,519 pengguna yang mengambil tahu tentang hal ini. Jelas hampir separuh daripada pengguna sudah tidak mengambil peduli tentang 1MDB. Rakyat Malaysia menurut Politweet kini lebih memberi tumpuan kepada isu-isu bersifat nasional termasuk kes buli yang berlaku akhir-akhir ini.

Berdasarkan kepada tinjauan bebas ini, kesimpulan umum yang boleh dibuat ialah populasi media sosial di Malaysia sudah tidak berminat dengan isu 1MDB dan mereka melihat isu ini seperti satu pengulangan tanpa ada sebarang titik hujung. Pembangkang jelas telah gagal untuk mengekalkan 1MDB dalam tempoh yang lebih lama. Malah pengguna media sosial di luar bandar dan kawasan-kawasan yang didominasi BN juga tidak mudah terpedaya dengan cubaan pembangkang menjadi 1MDB sebagai modal politik tetap.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here