Syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC) hari ini memaklumkan 1MDB melangsaikan semua hutangnya seperti dalam perjanjian penyelesaian antara kedua-dua pihak.

1MDB perlu membayar IPIC kira-kira AS$600 juta menjelang 31 Disember ini, seperti yang dipersetujui dalam perjanjian April lalu, selepas syarikat pelaburan strategik kerajaan Malaysia itu gagal memenuhi komitmennya menyebabkan syarikat Abu Dhabi itu terpaksa mendapatkan bayaran berjumlah AS$6.5 bilion melalui prosiding timbang tara di mahkamah London.

1MDB pada asalnya bersetuju membayar AS$1.2 bilion kepada IPIC menerusi 2 ansuran, dengan bayaran pertama kira-kira AS$600 juta dibuat menjelang 31 Julai lalu. 1MDB bagaimanapun terlepas tarikh akhir itu kerana perlu mendapatkan “kelulusan kawal selia”, sebaliknya ia membuat bayaran itu pada Ogos.

“IPIC sudah mendapat semua dana yang perlu dibayar kepada IPIC menjelang 31 Disember di bawah penyelesaian dengan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1Malaysia Development Berhad serta persetujuan penyelesain yang dibuat pada 9 Mei 2017,” kata IPIC dalam kenyataan kepada Bursa Saham London, pada Rabu.

1MDB tidak memberi sebarang ulasan kepada Reuters.

1MDB menjadi tumpuan siasatan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura. Jabatan Kehakiman AS dalam saman sivilnya mendakwa kira-kira AS$4.5 bilion diseleweng daripada 1MDB.

Dana pelaburan Malaysia itu menafikan sebarang salah laku dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengasaskan 1MDB, turut menafikan semua dakwaan rasuah yang dilemparkan ke atasnya.-REUTERS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here