Tempoh akhir bagi firma pelaburan negara 1MDB untuk membayar RM2.58 bilion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) berhubung perjanjian penyelesaiannya luput hari ini.

Bayaran tersebut sepatutnya dibuat pada 31 Julai tengah malam, waktu New York, yang bermaksud 1MDB mempunyai sehingga 12 tengahari di Malaysia hari ini untuk berbuat demikian.

Ini adalah urusniaga luar negara pertama yang penting buat 1MDB, selain dari pelupusan aset, sejak skandalnya bermula pada 2015, dan sejak Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil untuk merampas aset AS$1.7 bilion berkaitan dengan 1MDB.

Pembayaran yang dijadualkan ini adalah yang pertama dari 1MDB kepada IPIC. Urus niaga kedua yang sama perlu dibayar pada 31 Disember tahun ini.

Jumlah yang perlu dibayar oleh 1MDB kepada IPIC adalah AS$1.205 bilion (RM5.16 bilion) sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian.

Perlu dinyatakan bahawa kementerian kewangan, selaku penjamin, perlu menunaikan mana-mana kewajipan 1MDB sekiranya firma itu gagal berbuat demikian. – Malaysiakini –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here