Saturday, June 23, 2018
Home News Biz Sebuah Bangunan Di Seremban 2 Boleh Dijadikan Hab Bisnes Teknologi Maklumat (IT)...

Sebuah Bangunan Di Seremban 2 Boleh Dijadikan Hab Bisnes Teknologi Maklumat (IT) Dan Gajet – Ismail Sabri

0
301

SEREMBAN 1 Sept. – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyambut baik tawaran kerajaan Negeri Sembilan untuk membenarkan sebuah bangunan di Seremban 2 sebagai hab bisnes teknologi maklumat (IT) dan gajet seperti mana yang terdapat di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau gembira dengan tawaran yang dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan itu dan kementerian akan berbincang serta melihat segala keperluan untuk memastikan hasrat itu tercapai.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kerana mahu turut serta dalam mewujudkan hab bisnes IT dan gajet ini di negeri ini. Ini adalah sesuatu yang amat positif dan perlu disegerakan,” katanya di sini hari ini.

Ismail bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan pe­nerangan isu semasa kepada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung (JKKK) Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban yang dirasmikan oleh Mohamad. Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ibrahim Muhammad dan Timbalannya, Datuk Rahim Abu Bakar.

Ismail turut menegaskan, usaha mewujudkan hab bisnes itu tidak akan dihentikan, sebaliknya diusahakan dengan lebih agresif untuk memastikan orang Melayu dan bumiputera diberi ruang secu­kupnya dalam sektor perniagaan masa hadapan ini.

Untuk itu, katanya, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan te­rus meneroka bidang baharu bagi memperlihatkan orang Melayu dan bumiputera beralih dari sektor perniagaan konvensional kepada berteknologi tinggi, sejajar dengan wujudnya hab bisnes IT dan gajet di seluruh negara.

“Dengan bangunan Medan Mara, Kuala Lumpur sebagai pentas pe­rintis hab berkenaan dan akan siap dalam tempoh beberapa bulan ini, maka orang Melayu dan bumiputera akan bersama-sama dalam dunia perniagaan bertek­nologi ini,” katanya.

Tegasnya, Mara tidak mahu melihat orang Melayu dan bumiputera hanya terlibat dalam sektor pembuatan makanan sahaja seper­ti membuat kerepek dan sebagainya.

Katanya, selain Negeri Sembilan, Terengganu turut membuat tawaran yang sama.

“Selepas projek perintis di Medan Mara, kita akan tumpukan ke ba­ngunan Mara di Selangor (Anggerik Mall) untuk dijadikan hab bisnes yang sama, selain menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri Kedah,” ujarnya.

Dalam majlis itu Ismail turut menyerahkan elaun JKKK Negeri Sembilan yang berjumlah lebih RM2.5 juta kepada Mohamad.

Sumber: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here