Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi tempoh selama 14 hari bermula semalam untuk Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) mengemukakan Surat Tunjuk Sebab kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) berhubung insiden kekecohan ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019 bertemu Arab Saudi, Selasa lalu.

Beliau berkata kegagalan menjawab surat terbabit dalam tempoh ditentukan atau tidak memuaskan akan membawa kepada risiko penggantungan badan induk itu oleh PJS. “Saya sudah minta PJS (Datuk Zaiton Othman) menghantar surat kepada FAM berkenaan insiden perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada 8 September lalu dan surat ini sudah pun dihantar semalam” kata Khairy.

“Surat ini berdasarkan kepada peruntukan di bawah Akta Pembangunan Sukan yang memberi kuasa kepada PJS untuk mengarahkan sesiapapun mendedahkan apa saja maklumat yang diperlukan. “Jadi kita sudah minta maklumat laporan terperinci mengenai insiden itu dalam masa 14 hari dari tarikh surat ini dikeluarkan. “Kita sudah minta supaya perkara ini dihantar kepada PJS dan selepas PJS dapat laporan, barulah Datuk Zaiton ambil langkah apa saja yang beliau fikir patut diambil terhadap FAM.

“Ini juga termasuk apa saja tindakan yang termaktub di bawah Seksyen 20 (1) (6) yang memberi kuasa kepada PJS untuk membatal atau menggantung pendaftaran badan sukan yang tidak membetulkan apa saja salah amalan atau salah laku atau luar aturan di pihak pemegang jawatan atau anggotanya dalam tempoh yang ditentukan dalam notis bertulis diberikan PJS,” katanya.

Mengulas lanjut risiko penggantungan FAM oleh PJS yang mampu membawa kepada penggantungan badan induk itu daripada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) atas campur tangan kerajaan, Khairy berkata ia perlu ditentukan berdasarkan jawapan yang diberikan persatuan itu nanti.

“Ia mustahil (penggantungan FIFA) namun kita tidak punyai pilihan jika kita perlu menggantung mereka sehingga masalah diperbetulkan, namun ia adalah keputusan PJS. “Selepas PJS buat keputusan sama ada gantung atau tidak, sudah tentu mereka (FAM) membuat rayuan kepada saya namun saya tidak mahu bercakap mengenai proses itu lagi,” katanya.

Insiden kekecohan berlaku pada perlawanan keempat Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019 di Stadium Shah Alam apabila kumpulan penyokong dikenali Ultras Malaysa membakar mercun dan suar ke dalam padang serta mencetus pergaduhan sehingga memaksa perlawanan dihentikan ketika perlawanan memasuki minit ke-88. Ketika itu, Malaysia ketinggalan 2-1.

Kekecohan berlaku dipercayai berpunca daripada kekalahan memalukan 10-0 Malaysia kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan ketiga di Abu Dhabi, tempoh hari yang membawa kepada peletakan jawatan Dollah Salleh. Malaysia ketika ini dibimbing jurulatih sementara iaitu Datuk Ong Kim Swee.

Dalam pada itu, Khairy berkata keputusannya mengarahkan PJS melakukan siasatan terhadap FAM bukan bermotif peribadi atau menunjukkan kuasanya. “Saya tidak ambil pertimbangan ini dengan ringan dan semata-mata menunjukkan kuasa yang ada sebagai Menteri Belia dan Sukan tapi kita perlu lakukan sesuatu.

Kita tidak boleh berdiam diri. “Saya harap PJS akan guna proses ini, dapat saja jawatan baharu kita boleh ambil tindakan seterusnya. Kita perlu lakukan mengikut proses,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy turut membidas tindakan Ultras Malaya yang dikatakan melampau ketika itu kerana ia membabitkan keselamatan orang yang tidak bersalah. “Kita tahu mengapa mereka buat, namun ia bukan alasan kerana ia membabitkan keselamatan orang ramai. Betapa marahnya mereka dengan FAM, perkara itu tidak boleh berlaku,” katanya.

Sumber: HarianMetro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here