Naza Primiera Sdn. Bhd. yang merupakan pengedar rasmi motosikal jenama Aprilia di Malaysia baru -baru ini telah melancarkan dua model terbaharu keluarannya iaitu, Aprilia RSV4 RF Limited Edition (LE) dan Aprilia Tuono V4 1100 Factory Edition (FE).

Kedua-duanya merupakan jentera edisi khas yang ditawarkan bagi tahun 2015, masing-masing memiliki jumlah berat keseluruhan 2.5 kilogram (kg) lebih ringan berbanding model sebelumnya.

Dipasangkan dengan nadi enjin V4 berkuasa lebih 200Hp dengan sesaran 1100cc, geometri casis sportbike RSV4 RF LE ini ditala semula bagi menawarkan prestasi yang tiada tandingan seiring kombinasi teknologi terkini dimilikinya seperti Aprilia Performance Ride Control (APRC) meliputi Aprilia Traction Control (boleh dilaras lapan tahap), Aprilia Wheelie Control, Aprilia Quick Shift, Aprilia Launch Control dan Race ABS.

Sistem suntikan bahan api juga diberi penekanan, ia mempunyai kotak udara dengan masukan udara lebih dinamik.

Tujahan kuasa yang dihasilkan jantung enjin ‘mesin’ gagah ini digerakkan gandar roda belakang menggunakan transmisi gear enam kelajuan miliknya.

Tugas komponen tersebut turut dibantu kombinasi throttle body Marelli berukuran 48 milimeter (mm) dengan lapan suntikan dan pemetaan enjin yang dikonfigurasikan sistem Ride-By-Wire, signatur teknologi canggih istimewa daripada Aprilia ini. Canggih bukan?

Perincian yang dilakukan terutamanya di bahagian hadapan jentera perlumbaan ini mendapati bahawa ia membawa imej rekaan serba baharu. Penghasilan imej baharu ini menjayakan ciri aerodinamik bersama solekan menarik pelekat corak Superpole yang ditampalkan padanya.

01-RSV4-RF
Aprilia RSV4 RF Limited Edition (LE)


Justeru, wajar jika jentera ini dianggap sebagai versi pengeluaran eksklusif bagi tahun ini, ditambah pula dengan pemasangan barangan premium Pek Lumba (Race Pack) bersama rim tempa aluminium dan sistem suspensi profesional daripada jenama Ohlins.

Siapa yang tidak mengenali model ini pasti akan tertawakan penggemar motosikal berkuasa tinggi sepertinya. Perlu diketahui bahawa sportbike signatur kejuruteraan berprestij daripada Aprilia ini berjaya menggondol pelbagai kejuaraan perlumbaan sebelum ini.

Enggan meletakkan harapan bahawa pelanggan setia jenamanya selama ini sudah berpuas hati, Aprilia turut membawa evolusi termaju menerusi pengenalan jentera Aprilia Tuono V4 1100 FE ke atas jalan raya di Malaysia.

Jentera naked yang tergolong dalam keluarga sama dengan model RSV4 itu dikatakan menepati selera pengguna tempatan.

Unit enjin V4 yang dipakaikan bagi model ini juga ditala semula dengan rekaan casis baharu, mengikuti jejak sama seperti RSV4 RF LE.

Hasil yang diperoleh daripada proses talaan tersebut berjaya meningkatkan keupayaannya untuk merembeskan kuasa dengan tujahan tertinggi dilaporkan adalah pada 175Hp. Manakala, puncak tork maksima dicatatkan mencecah 121Nm. Jumlah kuasa tersebut tidak banyak bezanya dengan model RSV4 RF dan jelas rekod hebat bagi model kategorinya.

Sementara itu, tidak lupa dinyatakan bahawa pakej APRC berteknologi terkini turut ‘disumbat’ terhadapnya. Ciri teknologi tersebut menjamin kelancaran tunggangan dan memberi definisi kenikmatan tunggangan ‘sang juara’.

Aprilia-Tuono-Factory_014-640x421
Aprilia Tuono V4 1100 Factory Edition (FE)

Dilengkapi lampu jenis LED dengan rekaan penuh elemen moden kontemporari menonjolkan karakter bengis yang dibawa keranga keseluruhan model freeride ini.

Tuono V4 1100 FE ini turut disediakan dengan corak reka bentuk penghadang angin (fairing) serba baharu. Rekaan ini sebenarnya diambil daripada model RSV4. Ia dilihat sebagai penanda aras seni reka sportbike tulen. Lekuk pelana diperincikan untuk disesuaikan menepati keselesaan dikehendaki penunggang terutamanya di bahagian punggung. Jauh lebih selesa jika dibandingkan dengan model Tuono terdahulu.

Aprilia RSV4 RF LE dijual pada harga asas RM138,800 dan bagi Tuono V4 1100 FE pula, Aprilia bersetuju melepaskannya dengan tag harga RM118,800. termasuk GST). Harga asas tersebut sudah disekalikan dengan perkiraan enam peratus GST beserta jaminan pengilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here