Konsert penentuan pada minggu lalu telah memilih 12 para pelajar yang berbakat dan mempunyai kebolehan yang tinggi bagi meneruskan program AF 2015. Ke semua 12 pelajar berjaya menonjolkan bakat masing –masing pada konsert pertama yang berlangsung malam ahad lalu.

Bertemakan ‘bebas’, konsert minggu kedua ini turut memperlihatkan pemilihan lagu yang diberikan kepada pelajar adalah tepat sekali gus menghasilkan persembahan yang baik.

Biarpun masih banyak kelemahan perlu diperbaiki, namun secara keseluruhan, persembahan pelajar lelaki mahupun perempuan sudah dikira cukup menghiburkan.

Bercerita lanjut mengenai persiapan persembahan, Pengetuanya, Edry Abdul Halim akui terdapat sedikit perubahan dari segi pemilihan lagu sebelum konsert itu dipersembahkan.

“Sebenarnya persiapan konsert diatur sejak tiga minggu lalu di mana pihak produksi telah mengaturkan lagu-lagu yang akan disampaikan pelajar.

“Tapi, apabila masuk minggu pertama, saya cuba menganalisa kembali lagu-lagu yang diberikan dan saya sedar ada beberapa lagu yang diberikan kurang sesuai untuk disampaikan pelajar.

“Jadi, selepas berbincang, kami sepakat menukar lagu Syamel, Faroq, Openg dan Shahrul.

“Alhamdulillah, hasilnya malam ini kita nampak persembahan yang memuaskan sekali gus rombakan lagu itu juga menjadi kelebihan buat pelajar itu sendiri,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media konsert minggu kedua AF 2015, Ahad lalu.

Tambah Edry, penekanan AF tahun ini adalah untuk menonjolkan kekuatan yang dimiliki pelajar bergantung pada kemampuan masing-masing.

“Zaman menguji pelajar dengan lagu-lagu yang tidak bersesuaian sudah habis. Sekarang orang mahu melihat persembahan yang lebih berkualiti.

“Jika suaranya sesuai dengan beberapa genre, kita akan kekalkannya dan membantu pelajar untuk menampilkan kekuatan mereka bukannya kelemahan.

“Tapi kami masih mempelbagaikan lagu, namun ia bergantung pada kemampuan pelajar itu tapi pada masa yang sama kami juga ada tanggungjawab untuk menghiburkan penonton,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here