esscom

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) merekodkan tangkapan 1,005 pesalah terdiri daripada warga tempatan dan pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam operasi bersepadu khas yang dijalankan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kesemua pesalah terbabit ditangkap kerana melanggar beberapa akta termasuk Akta Imigresen 1959, Akta Kastam 1967, Akta Perikanan 1985, Akta Kawalan Bekalan 1961, Enakmen Hutan 1968, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Akta Senjata Api 1971 dan Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

“Operasi bersepadu yang dijalankan melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan penguat kuasa seperti Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Jabatan Imigresen Sabah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan dan agensi lain.

“Kita dapati semua PATI yang ditangkap telah dikenal pasti bukan mereka yang terlibat dengan kumpulan militan daripada Malaysia, Indonesia mahupun Filipina,” beliau berkata.

Shahidan berkata antaranya melibatkan kejayaan menghalang pencerobohan kali kedua oleh kumpulan penjenayah dari selatan Filipina dan menggagalkan 13 cubaan culik di perairan Pantai Timur Sabah sejak empat tahun penubuhannya.

“Esscom juga telah mengambil langkah melakukan penyamaran di atas bot nelayan semasa Op Coral di mana kesan daripada itu Pasukan Gerakan Am (PGA) telah berjaya menembak mati tiga anggota militan Abu Sayyaf pada 8 Disember 2016 di perairan Pulau Pom Pom. Sejak itu tidak ada lagi kejadian penculikan di kawasan berkenaan,” katanya.

Selain itu, melalui autogerak pasukan keselamatan dan aset di sempadan negara, bahagian perisikan Esscom dan pasukan Polis Marin turut mengadakan kerjasama dengan pasukan keselamatan Filipina dalam membanteras isu-isu keselamatan di perairan Pantai Timur Sabah melalui kerjasama risikan dan penyelarasan daripada pasukan kedua-dua negara.

“Hasil kerjasama ini, sebahagian besar penjenayah rentas sempadan berjaya dihapuskan. Oleh demikian keadaan di sempadan bertambah baik namun Esscom sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here