Lebih 1,000 orang pelajar India sekolah rendah dan menengah di sekitar Wilayah Persekutuan hari ini menerima bantuan persekolahan daripada Badan Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan.

Presiden MIC Datuk Seri Dr Subramaniam berkata bantuan berupa baucer RM100 dan beg sekolah itu diberikan melalui program ‘Ceria ke Sekolah’, yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dengan peruntukan RM15 ribu.

“Kebiasaannya pada hujung tahun, ibu bapa akan menghadapi masalah untuk mempersiapkan segala keperluan persekolahan anak-anak. Oleh itu bantuan ini diharap dapat meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan.

“Pemberian bantuan ini juga merupakan satu perkembangan yang baik dalam masyarakat kita dengan kita lihat semakin banyak pertubuhan dan agensi yang tampil untuk bersama-sama menghulurkan bantuan, berkongsi kesusahan,” kata Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menyampaikan bantuan itu  di Ibu Pejabat MIC di sini, hari ini.

Dalam pada itu menurut Dr Subramaniam, program bantuan persekolahan ini juga akan dijalankan ke seluruh negara dalam masa seminggu dua lagi. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here