ziana zain
Cover image via themalaymailonline

NAMA Ziana Zain dan dunia lakonan bukan asing. Sederet filem pecah panggung seperti Maria Mariana, Sembilu, Merah dan Qabil Khusry Qabil Igam membuat khalayak begitu dekat dengan Ziana sebagai seorang pelakon yang hebat.

Kini selepas hampir lapan tahun meninggalkan lakonan, penyanyi yang popular dengan lagu Madah Berhelah kembali beraksi di layar lebar.

Kemunculannya kembali akan menyaksikan Ziana terlibat dalam sebuah telefilem berjudul Mati… Tunggu Sekejap.

Biarpun tajuknya agak menakutkan, namun naskhah arahan sutradara terkenal, Rashid Sibir ini bukan sahaja menampilkan Ziana sebagai pelakon utamanya, malah yang menariknya ia turut mengganding dua lagi diva popular iaitu Nasha Aziz dan Adibah Noor.

Bakal ditayangkan di saluran Astro Oasis pada Oktober depan, Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain memberitahu, jalan cerita yang menarik dan mendapat pengarahan daripada Rashid Sibir membuatkan dirinya menerima tawaran lakonan tersebut.

“Pada waktu ini saya sedang sibuk dengan penggambaran telefilem arahan Rashid Sibir berjudul Mati… Tunggu Sekejap. Telefilem ini merupakan penampilan pertama saya selepas hampir lapan tahun tidak berlakon.

“Sebab utama saya menerima tawaran ini adalah ia diarahkan oleh sutradara berbakat besar seperti Rashid Sibir. Jalan cerita telefilem ini juga menarik, selain ia mengambil masa penggambaran yang singkat dan lokasinya dekat dengan rumah,” ujarnya ketika ditemui semasa pelancaran Gee Shawl by Ziana Zain’s World di Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Berkongsi serba sedikit tentang telefilem yang menemukan dirinya dengan Nasha Aziz dan Adibah Noor, Ziana berkata, ia mengisahkan tentang tiga orang sahabat baik yang terpisah, namun kemudian berjumpa kembali.

“Naskhah ini mengisahkan tentang tiga sahabat baik yang sudah berkahwin dan kemudian bertemu semula. Pertemuan itu sekali gus membawa mereka mengimbau kembali kenangan pahit dan manis semasa berada di alam persekolahan.

“Saya membawa watak sebagai Nora yang merupakan seorang pendiam dan takut pada anak tirinya. Namun, setelah mendapat sokongan daripada rakan, Nora akhirnya bangkit dan kemudian menjadi seorang pendendam,” ceritanya yang kembali berlakon selepas menyifatkan sudah mempunyai masa untuk menguruskan karier lakonannya selepas anak-anak sudah semakin membesar.

Selain sibuk dengan penggambaran, anak kelahiran Melaka ini sempat ditanya soal persiapan dirinya bagi Konsert High Note yang akan berlangsung di Istana Budaya (IB) pada 25 hingga 27 November depan.

“Konsert tersebut merupakan impian Azlan & The Typewriter dan akan menggabungkan saya, dia (Azlan) dan juga Jaclyn Victor.

“Buat masa ini konsep dan perjalanan konsert masih pada peringkat perbincangan. Insya-Allah jika semua sudah ditetapkan, kita bertemu di IB nanti,” ujarnya.

Gee Shawl

Sementara itu, bercakap mengenai pelancaran koleksi Gee Shawl by Ziana Zain’s World, dalam nada teruja, bintang tersebut memberitahu, ia merupakan sebahagian daripada impiannya.

Malah, beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk merealisasikan impian tersebut dan merasai sendiri kepayahan sebelum bergelar seorang usahawan.

“Saya memang sudah lama mempunyai impian untuk membuka perniagaan sendiri, cuma tidak tahu jenis perniagaan yang hendak dijual.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dapat berjumpa dengan rakan perniagaan iaitu Kala, dan dia banyak memberi tunjuk ajar. Idea perniagaan ini juga hadir dalam bulan Ramadan lepas.

“Baru saya tahu berniaga bukan suatu perkara yang mudah. Saya sendiri turun padang untuk mencari kualiti kain bersesuaian dan berlainan daripada tudung yang ada dalam pasaran,” ujarnya yang pergi ke India sebanyak dua kali dalam proses pencarian koleksi tudungnya.

Tambah Ziana, nama tudung Gee Shawl yang dijual pada harga RM69.90 itu diambil sempena nama panggilan dirinya yang begitu dekat dalam kalangan rakan dan ahli keluarga terdekat.

“Gee Shawl adalah sempena nama saya sendiri. Rakan dan ahli keluarga lebih mesra menggelarkan saya sebagai Gee. Nama ini bukan sahaja sudah melekat, malah ia melambangkan diri saya yang ceria, suka berjenaka dan penuh dengan warna-warni seperti koleksi tudung daripada kain sari saya itu.

“Bagaimanapun untuk koleksi akan datang, nama lain pula yang akan digunakan. Untuk perancangan akan datang, saya dalam perbincangan untuk mengeluarkan tudung daripada material sutera yang coraknya lebih cantik.

“Saya sengaja meletakkan harga mampu milik agar dapat berkongsi apa yang saya ada dengan peminat. Pada saya, biar koleksi tersebut nampak mahal tetapi ia mampu dimiliki.

“Bagaimanapun, harga yang berbeza akan diberikan mengikut kesesuaian kain pada keluaran akan datang,” katanya yang turut memberitahu Gee Shawl by Ziana Zain’s World boleh dibeli secara dalam talian atau di Jameela Street, SACC Mall, Shah Alam.

Baca lagi: Ziana Zain Terkilan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here